Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, June 27, 2010

Selamat Hari Ayah, ayah~


Kenangan itu, umpama kesan tapak kaki diatas timbunan salji. Satu persatu kesan tapak kaki itu cuba saya jejaki, tetapi dia semakin jauh dan jauh dan akhirnya menjadi bayang-bayang. Dan salji itu, lama kelamaan semakin mencair dan perlahan-lahan kesan tapak kaki itu juga menghilang. Hilang seperti hilangnya dirinya. Saya cuba menahan, kalau boleh saya ingin lindungi ia dari terikan matahari. Hanya itu yang saya punya. Sebuah kenangan yang dihadiahkan dia selama 23 tahun saya bernafas. Pada jelingan matanya, dia mengajar saya menjadi seorang manusia, dan pada senyumannya, dia mengajar saya untuk menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa. Pada pejaman matanya yang terakhir kali, dia mengajar saya, bahawa kematian adalah sebuah destinasi yang pasti.

Kenangan itu, saya tidak pasti sampai bila saya dapat menahannya. Saya berharap, suatu hari nanti, saya dapat memperkenalkan pusara dia pada bakal hero dan heroin saya, dan mulai berkata, "dialah wira ummi, seorang lelaki yang sangat baik dengan ummi, sangat lembut dengan perempuan-perempuannya, seorang yang pendiam, penyayang dan tabah. Dan dia, adalah seorang ayah yang sangat mudah mengalirkan air mata untuk anak-anaknya".


Selamat Hari Ayah, ayah.


Friday, June 25, 2010

Kuasa 'MAAF', mungkinkah?


Bayangkan, sekeping papan yang dipenuhi dengan paku-paku. Kemudian, satu persatu paku-paku tersebut dicabut dari papan tersebut. Mungkinkah, papan tersebut akan menjadi papan yang asal, yang cantik dan bersih tanpa lubang?, tak mungkin. Begitu juga ibaratnya sekeping hati. Hati yang telah dipenuhi paku, apabila dicabut, tak mungkin sama dengan hati yang dahulu. Luka dan parut pasti mengambil tempatnya. Paku tersebut telahpun hilang. Namun, adakah luka kerana paku itu akan sembuh. Ia bergantung kepada pemilik hati itu sendiri untuk merawatnya.

Time is everything . Mungkin ubat luka itu adalah masa. Tapi, mungkin juga parut yang ditinggalkan oleh paku itu adalah untuk selama-lamanya. Justeru itu, kita selalu mendengar kata-kata "untuk memaafkan mungkin boleh, tetapi, untuk melupakan tidak sekali-kali". Mungkin, paku yang dibenamkan ke dalam hati itu terlalu dalam dan sukar untuk sembuh. Mau apakah dilakukan pada hati itu?..

'Maaf' atau 'maafkan saya' atau 'saya menyesal dan minta maaf' atau 'saya benar-benar minta maaf', bagi sesetengah orang, mungkin adalah perkataan yang simple dan tak bermakna apa-apa, kerana perkataan itu tidak boleh mengubah kesilapan yang berlaku. Tetapi sebenarnya, perkataan itu mengandungi seribu satu makna bagi sebahagian manusia. Perkataan itu adalah perkataan ajaib yang boleh meredakan kemarahan, melembutkan hati yang keras, dan mencairkan dendam yang membeku.

Walaupun kadangkala, perkataan maaf itu tidak dapat memulangkan apa yang hilang, tidak dapat memulihkan keadaan ataupun tidak dapat mengubat luka yang dialami, serta tidak dapat menggantikan tempat undang-undang dan polis, paling tidak, kata-kata maaf itu adalah tanda dan bukti penyesalan kita sebagai manusia yang alpa dan penuh khilaf. Dosa pada Tuhan, mungkin boleh terampun, tetapi, dosa dengan manusia mungkinkah akan terampun?.

Ucapkanlah kata maaf tanpa rasa malu. Maaf yang hadir tulus dari hati nurani. Semoga insan yang mendengarnya juga menjadi lembut hati. Semoga lubang-lubang akibat paku itu akan menguncup, dan parut-parut, akan semakin memulih. Walaupun nantinya, masih ada parut yang bersisa, mungkin parut itu tidak sama lagi seperti sebelum kata maaf diucapkan. Di sinilah letaknya kuasa maaf, memohon maaf dan memaafkan, semuanya terpulang pada pemilik hati.

Wallahualam..


..............................................

saya mohon ampun dan maaf pada insan-insan yang pernah terluka kerana diri ini. Sama ada tanpa sengaja atau dengan sengaja. Maaf untuk segalanya..


Tuesday, June 1, 2010

Saat Cinta Bertasbih...




Saat cinta mula bertasbih
Lewat rindu kepadanya
Ada getar yang mengalir
Menyusup dalam dada
Degup-degup jantung mula bersuara
Membilang-bilang namaNYA

Air mata sang penglipur lara
Dahulunya diam dan membisu
Kini kembali bercerita
Sebuah ceritera
Tentang keagungan dan kehebatanNYA
Satu persatu molekul-molekul keinsafan
Tanpa alpa
Menghapus titik-titik noda

Hati yang dahulunya gersang
Segersang padang sahara
Kini berubah panorama
Menjadi sebuah taman
Bersama indahnya musim-musim iman
Semuanya mengalir lembut
Selembut bayu nan berpuput
Menyatu dalam darah
Bersama zarah-zarah mawaddah

Dalam sebuah kisah
Pengharapan seorang hamba
Tentang
Keampunan dan
Cinta
Tuhannya..



Majalah Solusi, Isu No.20.june,2010.
Khadijah Abd Latip
UKM,Bangi


.............................................

~Alhamdulillah~
Terima Kasih kepada ketua editor Majalah Solusi, En. Pahrol Mohd Juoi di atas kesudiannya menyiarkan puisi saya..