Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, October 12, 2009

Menatap langit..


Semalam yang telah berlalu, saya dan dia meminjam stadium UKM untuk meluah rasa.Kami bercerita,bermain, berlari, dan berteriak menghilangkan lelah batin yang tak terluah. Di lapangan trek stadium, kami berbaring sambil menatap langit yang merah dan pekat.Saya mengira ingin membilang bintang malam itu, Namun hampa kerana tiada bintang di langit malam.Hanya awan yang berkepul-kepul kemerahan. Suasana sunyi menambahkan rasa syahdu.Saya mula berpuisi,dan dia tekun mendengar.


"Langit yang terbentang luas, warnanya biru, putih, merah, dan oren".
"itu semua orang tahu", Kami sama-sama ketawa.


"aku ingin dikenali di langit"
"disebut-sebut di langit"
"disayangi di langit"
"ingin terbang bebas ke langit"
"alangkah.."Saya teringat kata-kata seorang teman.


"Kalau penghuni langit lihat kita sekarang ni, pasti diorang kata apalah budak dua orang ni buat".Kami ketawa lagi.

Meniti usia dewasa bersama, sungguh tak terasa kami hampir menamatkan 3 tahun zaman belajar di sini. Dan ini merupakan kenangan termanis kami membuat kerja gila. Dia mengiakannya. Kami bercerita lagi. Berharap esok masih ada bahagia untuk kami tempuhi dengan hati terbuka. Kami berharap lagi. Esok, derita yang dirasa akan terlerai jua. Dan esok, semoga kami menjadi seorang manusia baru yang lebih tabah dan ceria.

Saya dan dia menatap langit lebih lama. Di dalam hati, beribu hamdalah di panjatkan kepada yang Maha Esa. Betapa ketika melihat langit, terasa terbang segala derita. Betapa ketika melihat langit, saya jadi berharap, suatu hari nanti, saya juga ingin berada di atas sana.Dan sayapun mula bertanya tentang takdir padanya, bagaimana andai suatu hari nanti saya yang pergi dahulu daripadanya. Dan dia seperti biasa punya jawapannya yang tersendiri. Setiap manusia telah ditentukan takdirnya, tiada yang terlambat atau tercepat. Yang terbaik adalah doa.

Kami membisu seribu bahasa. masing-masing melayan rasa. Tak terasa kerasnya trek stadium, ingin sahaja kami melelapkan mata. Sungguh enak rasanya tidur bertemankan udara malam dan langit yang terbentang luas.

Perlahan-lahan awan yang berkepul-kepul mula merata. Namun langit masih lagi merah. Semerah hati saya. Akhirnya, setelah penat berlumba lari, kami membuat keputusan pulang setelah peluh membasahi sweater coklat saya.

Sebelum pulang, sempat saya berbicara "terima kasih UKM, kerana pinjamkan kami stadium ini". Mungkin suatu hari nanti, kami akan datang lagi.

Dan untuk dia, terima kasih kerana membawa saya ke sini. Terima kasih kerana menjadi teman setia saya, terima kasih kerana menjadi sahabat saya.

Dan terima kasih Allah, kerana mengurniakan saya teman-teman yang baik sekali dan sayangkan saya.

Saya teringat pada teman di bilik sana. Kita selalu bertiga. Bukan saya tidak mahu mengajaknya melihat langit bersama, cuma tidak mahu mengganggu dirinya yang sedang pulun dengan kerja. Semoga ukhuwah kita sentiasa dipelihara Allah, hingga akhir usia. Dan saya teringat lagi akan sebuah kata-kata....

"Kekasih mungkin boleh dicari, tetapi sahabat sejati sukar sekali dicari ganti.."

Saya belum mampu untuk membuat puisi yang puitis tentang kita bertiga. Kerana persahabatan itu sukar sekali diterjemah...lebih sulit dari cinta, kerana cinta adalah cinta, tetapi persahabatan itu adalah lebih daripada cinta...