Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, August 12, 2009

Dramaturgy dan nasihat Luqman Nul Hakim.


Bismillahirrahmanirrahim..

Dramaturgy, merupakan salah satu daripada intipati kuliah teori antropologi dan sosiologi lanjutan yang baru saya pelajari isnin lalu bertarikh 10.Agos.2009. Melihatkan tajuknya sahaja sudah menarik, iaitu hidup kita umpama pentas teater, individu atau diri kita merupakan aktor dan pelakon yang aktif.


Dramaturgy merupakan teori lanjutan dari simbolik interaksionisme klasik yang mana dipelopori oleh tokoh penting iaitu Erving Goffman. Di dalam teori ini menerangkan tentang konsep 'self ' iaitu self atau diri bukanlah milik individu (aktor) tetapi adalah hasil dari interaksi dramatik antara aktor dengan para hadirin (audience).


Di dalam hal ini, secara ringkasnya teori ini menerangkan bahawa kita sebagai individu melakonkan watak tentang apa yang manusia lain ingin lihat pada diri kita, juga berkata sesuatu tentang apa yang mereka ingin dengar, secara tidak langsung kita perlu berdrama dan sekaligus peranan kita semacam sama dengan pelakon dalam pertunjukan drama.


"A view of social life as a series of dramatic perfomances akin to those that take place in the theater" (Ritzer 2003:145)


Hal ini sedikit sebanyak melahirkan rasa tension kerana apa yang kita ingin lakukan dengan apa yang orang harap kita lakukan tidak sama, jadi kita perlu ikut apa yang orang lain inginkan.Di dalam hal ini pensyarah saya menukilkan satu kata-kata yang mudah dan jelas mengenai teori ini


"I am what i think, you think i am"


Di dalam bahasa melayunya apabila diterjemahkan kembali bermaksud " saya ialah apa yang saya fikirkan , apa yang kamu fikirkan tentang saya" . Agak sedikit keliru bila diterjemahkan satu persatu,tetapi secara keseluruhannya ia bermaksud, di dalam fikiran saya, saya adalah hasil daripada apa yang orang lain fikirkan tentang saya.


Teori ini turut sinonim dengan ungkapan Shakespeare, All the world's a stage (from as u like it 2/7)


All the world's a stage

And all the man and women merely players

They have their exits and their entrances

And one man in his time plays many parts

His acts being seven ages.At first the infant

Mewling and puking in the nurse's arms.

And then the whining school-boy, with his satchel

And shining morning face,creeping like snail

Unwillingly to school.And then the lover

Sighing like furnace, with a woeful ballad

Made to his mistress eyebrow. Then a soldier,

Full of strange oaths and bearded like a part......



Saya bukanlah orang yang arif perihal sastera, apa lagi untuk memahami apa yang ditulis oleh ShakesPeare ini, kerana bahasanya terlalu tinggi namun kata-kata pensyarah saya bahawa apa yang dikarang oleh ShakesPeare adalah realiti yang berlaku di dalam masyarakat sehinggalah hari ini.


Inilah realiti kehidupan sebenar, apa yang Erving Goffman lihat dan Shakespeare katakan adalah mungkin apa yang anda dan saya alami atau apa yang anda dan saya lihat. Di dunia ini, tidak ramai yang tidak pernah atau selalu juga memikirkan apa yang orang lain fikirkan perihal dirinya dan mengambil berat pandangan orang lain terhadapnya, namun ramaikah yang berfikir apa yang akan Tuhan katakan tentang dirinya dan pandangan Tuhan terhadapnya?. Di sinilah bahagian paling penting yang ramai diantara kita mengabaikannya.


Ingatkah kalian kepada Luqman Nul Hakim?. Dramaturgy dan Luqman Nul Hakim mungkin tidak sinonim, tetapi nasihatnya sangat berkait rapat dengan sifat manusia yang satu ini.


Alkisah dalam satu riwayat menceritakan bagaimana pada suatu hari Luqman Nul Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor baghal, manakala anaknya pula mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata, "Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki baghalnya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."


Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari baghalnya itu lalu diletakkan anaknya di atas baghal itu dan kembali berjalan. Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula, "Sungguh biadap budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki baghal itu."


Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang baghal itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua orang itu menunggang seekor baghal, alangkah siksanya baghal itu membawa beban yang berganda."


Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari baghal itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Ada baghal tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"


Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Nul Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya,


"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Biarkan Erving Goffman dengan teorinya, dan Shakespeare dengan sajaknya, ambillah apa yang dikatakan oleh Luqman Nul Hakim dalam nasihatnya.

Apabila merasa sedih dengan kata-kata manusia, bagaimana untuk merawatnya?. Saya pernah menonton satu rancangan televisyen Rawat Hatinya Bangunlah Insan, yang disiarkan oleh Astro Oasis, penceramahnya adalah saudara Aa Gym dari Indonesia. Bagaimana untuk merawat hati yang sakit bila dikeji orang atau merasa sedih kerana dikritik manusia dan seumpamanya?.


Aa Gym mengajar satu cara, iaitu dengan menyenaraikan semua keburukan dan sifat negatif kita secara jujur di dalam satu kertas, biar hanya menjadi simpanan dan tatapan kita sendiri. Dan apabila ada orang mengkritik kita sebagai contohnya mengatakan kita kikir, jadi kita jawab dengan penuh rasa syukur "oh dia hanya melihat sifatku yang kikir, sedangkan banyak lagi sifat buruk ku yang lain tetapi Allah sembunyikan dari pengetahuannya, Alhamdulillah.."


Akhir kata dari saya, La Tahzan Inna Allaha ma'ana ..


Wallahualam..


p/s:Topik ini bakal disambung pada keluaran akan datang....








Sunday, August 9, 2009

Taman RINDU dalam hati..~





Rindu
Bagaikan salju
Sejuk nan membeku
Keras nan membatu
Kaku dalam ruang waktu
Bilakah kan bertemu?


Nur menerangi
Bagai mentari pagi
Waktu tak lagi kaku
Ais mencair laju
Tak lagi beku
Rindu pun bertamu



Bumi dibasahi
Mawar, merah kembali
Dedaunan hijau lagi
Alunan zikir tiada henti
Bagai kesturi
Harumnya mewangi
Seharum kasih Ilahi
Seharum bau syurgawi
Taman rindu dalam hati
Rindu berbaur cinta ilahi.





ya Allah, berilah aku mencintaiMU, seperti mana Engkau mencintaiku

dan berilah aku merinduiMU, seperti mana Engkau merinduiku

hadirkanlah taman rindu dalam hatiku

seperti mana Engkau menciptakan taman-taman syurga bersama hadirnya
cintaMu.










Khadijah Abd Latip
Siap pada : 09.Ogos.2009, 1:23 p.m.
Kolej Pendeta Za’ba, UKM, Bangi.

Sunday, August 2, 2009

Kau Menyayangiku..~





Kau menyayangiku
Seperti bumi,
Menyayangi titah Tuhannya,
Tidak pernah letih,
Menanggung beban derita,
Tidak pernah penat,
Menghisap luka


Kau menyayangiku
Seperti matahari,
Menyayangi titah Tuhannya ,
Tidak pernah letih,
Membahagi cerahnya cahaya,
Tidak pernah letih,
Menghangatkan jiwa


Kau menyayangiku
Seperti air,
Mencintai titah Tuhannya,
Tak pernah letih,
Membersihkan lara,
Tak pernah letih,
Menyejukkan dahaga


Kau menyayangiku
Seperti bunga,
Mencintai titah Tuhannya,
Tak pernah letih,
Menebar mekar aroma bahagia,
Tak pernah letih,
Meneduhkan gelisah nyala,


(Dipetik dari Novel Ketika Cinta Bertasbih, Habiburrahman El Shirazy)



Terima kasih buat keluarga juga
sahabat-sahabat yang menyayangiku,
terima kasih juga kerana peduli
dan ambil berat diri ini
menjaga diriku ketika sakit,
menguatkan ku ketika lemah,
membahagiakan ku ketika sedih,
Tiada yang dapat ku ungkapkan
melainkan Allah sahaja yang layak membalas jasa kalian..






Sunday, July 26, 2009

Cinta Maha Dahsyat~


Kerana cinta duri menjadi mawar

Kerana cinta cuka menjelma anggur segar

Kerana cinta pentungan menjadi mahkota penawar

Kerana cinta kemalangan menjadi keberuntungan

Kerana cinta rumah penjara nampak bagaikan kedai mawar

Kerana cinta timbunan debu kelihatan sebagai taman

Kerana cinta api berkobar menjadi cahaya menyenangkan

Kerana cinta Saytan berubah menjadi bidadari

Kerana cinta batu keras menjadi lembut bagaikan mentega

Kerana cinta duka menjadi riang gembira

Kerana cinta hantu berubah menjadi malaikat

Kerana cinta singa tidak menakutkan bagaikan tikus

Kerana cinta sakit menjadi sihat

Kerana cinta amarah berubah menjadi keramah-tamahan





~Jalaluddin Rumi~

ketika jatuh CINTA~





Biarpun lidah sudah menghuraikan dengan jelas

Rasanya tanpa lidah, cinta lebih jelas lagi

Sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya

Kata-kata akan pecah berkeping-keping ketika sampai bab cinta

Dalam menghuraikan cinta, akal terbaring tidak berdaya

Bagaikan keldai yang terbaring dalam lumpur

Cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan.


(Petikan puisi Rumi dalam Diwan Shamzi Tabriz,diterjemahkan oleh Abdul Hadi W.M) dipetik dari buku Ketika Cinta Bertasbih, Habiburrahman El Shirazy.

Wednesday, July 22, 2009

Subhanallah, wajahnya bercahaya...




Belum pernah saya melihat wajah siapa pun sepertinya...


Hari itu adalah hari ahad, saya dan sahabat bertolak dari stesen komuter Klang seawal jam 11.30 pg dan sampai ke stesen komuter KL Central seputar jam 12.30 tgh hr. Semasa keluar dari komuter saya sedikit maju meninggalkan sahabat saya di belakang, kerana begitu ramainya manusia yang membanjiri stesen tersebut, saya menunggunya untuk sekali berpapasan. Di dalam kesibukan mencari-cari wajah sahabat saya ini , tanpa sengaja saya terpandangkan wajah seorang pemuda disebelahnya. Subhanallah, hati saya berdetik. Wajahnya bercahaya, benar-benar bercahaya. Sepanjang perjalanan hidup saya, tak pernah saya lihat wajah seindahnya, saya juga tak pernah tergambarkan di minda bagaimanakah rupanya wajah seseorang yang bercahaya. Alhamdulillah, Tuhan memberi izin untuk saya melihatnya walaupun hanya dari jauh, membuatkan saya merasa insaf dan betapa kerdilnya diri.


Sahabat saya menceritakan saat dia terlihat wajah lelaki itu, hatinya bagai tersentap, dan tanpa diminta, hatinya menyebut nama Allah. Mungkin inilah yang dikatakan apabila kita melihat wajahnya kita teringat kepada Allah.Kekaguman yang timbul dalam benak kami, bukanlah semata-mata kerana keindahan wajah yang Tuhan berikan kepadanya, tetapi kerana kami benar-benar melihat ada cahaya pada wajahnya. Sehingga saat ini, saya tertanya-tanya amalan apakah yang dilakukannya sehingga ada cahaya yang menyinari wajahnya.


Wajah pemuda itu mengingatkan saya kepada sebuah kisah tentang seorang ulama yang terkenal di zamannya, iaitu Al-Ahnaf bin Qais. Suatu hari di dalam majlis ilmu, Ahnaf amat tertarik dengan kedatangan pemuda dari suku tai'yi. Beliaau mendapati pemuda ini sangat segak dan tampan, berbeza dengan pemuda yang sebayanya.


Lalu Ahnaf pun bertanya "wahai anak muda, adakah kamu menghiasi wajahmu dengan sesuatu?"


Lalu jawab pemuda itu " Memang benar, saya ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu. Jika saya bercakap saya tidak pernah berbohong. Kalau ada orang yang sedang bercakap, saya hanya duduk diam dan mendengar. Jika saya berjanji, saya akan tepati dan jika saya diberikan amanah, saya tidak mengkhianatinya."


Mendengar jawapan yang bernas itu, maka berkatalah Ahnaf "Benar akan kata-katamu itu wahai anak muda. Sungguh engkau telah menghiasi dirimu dengan akhlak yang mulia."


Wallahua'lam.

Saturday, July 11, 2009

Albi Nadak..~





~Seruan Hatiku~

Hanya padamu..
Diri ini hanya milikmu..
Datanglah dekat
Air mataku mengalir
Mengharapkanmu..
Hanya padamu


Dan jiwaku padamu
wahai kasihku, usia kita,usiaku,
Seluruh hidupku untukmu,
Seluruh hidupku untukmu,
Cintamu adalah hayatku,
dirimu buat kita bercinta,
Sebenar-benar cinta,
Hatiku disini,
Keindahanmu milikku,
Jadi bersatu..


Hatiku memanggil,
Harapkan engkau sentiasa setia,
Hanya dirimu,
Selepas bertahun,
lihatlah sayang,
kita berjumpa di sini,
dan bersama,
Air mataku mengalir keranamu..


Engkaulah kekasih,
Diriku hanya untukmu,
Seluruh hidupku, usiaku
Kerna matamu..
Aku serahkan segalanya..


Apa yang daku harapkan,
Indahnya kau di sisi bersamaku selamanya,
Katakanlah kepadaku,
Diri ini..
Sekian lama mengharapkan,
Hati ini, perasaan ini..
bersama hati dan perasaanmu...


-ith Lurve-

Friday, July 10, 2009

Terima Kasih semua~

Bismillahirrahmanirrahim..

Terima Kasih semua kerana menyokong saya, membaca catatan yang tak seberapa dari insan dhaif ini serta memberi sumbangan idea dan sokongan. Sepulangnya dari cuti yang panjang, menggamit hati untuk kembali menulis dan bercerita. Meninjau kembali blog yang telah lama ditinggalkan ini, rupa-rupanya banyak mesej yang tersadai di kotak shoutbox tanpa balasan dari saya, dan semakin bertambahnya kenalan di bahagian followers.Saya mohon maaf kerana tidak berkesempatan untuk membalas ikatan ukhuwah ini, dan insyaAllah saya akan membalasnya kembali.

Terima kasih juga kepada pengunjung yang sudi menziarahi blog dhaif ini, hanya tinta yang tak seberapa ,tetapi saya mengharapkan ia berguna, sebagai perkongsian sebuah catatan pengalaman dan fikiran. Semakin saya menulis, saya semakin sedar bahawa setiap tulisan saya rupa-rupanya tak terlepas dari pandangan Tuhan, Dia rupa-rupanya tidak membiarkan saya tanpa diuji, dan hanya beromong dengan omongan kosong, Dia menjadikan saya makin dewasa, namun adakalanya saya merasa takut, takut jika langkah kaki ini menjadi kaku atau jalan yang ditempuhi tidak seindah siratul mustaqim. Adakalanya saya merasa saya tidak mahu lagi meneruskannya kerana saya takut saya diuji berkali-kali, namun saya teringat pada janjinya bahawa setiap dari hamba yang disayanginya akan diujinya , kerana syurga itu indah dan nikmatnya tidak terkata. Semoga suatu saat nanti saya, dia, kamu dan mereka dipertemukan Allah di sana. Ameem..~

Wednesday, April 29, 2009

Bicara CINTA dari nurani~


Bismillahirrahmanirrahim..



Di dunia ini bukan semua yang kita inginkan akan kita perolehi. Bicara tentang cinta, diri ini bukanlah seorang yang mahir dalam bercinta hatta, untuk bercerita tentang cinta, sekalipun untuk menjadi pencinta agung seperti Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet mahupun seperti Jung Yujin dan Kang Joon Sang dalam drama Winter sonata, Namun seperti kata-kata HAMKA bahawa



“cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, disana akan tumbuh kesucian hati,keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji.”



Kata HAMKA lagi, “cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis tali sedan tapi cinta menghidupkan penghargaan, menguatkan hati dalam perjuangan, menempuh onak dan duri penghidupan”

Kemudian Jalaludin Ar-Rumi pula berkata, “Jika tiada cinta, peradaban dunia akan membeku. Cinta adalah penaka lautan; seluas dan sedalam daya jelajah hati nurani manusia itu sendiri. Cintalah yang semestinya menjadi asas utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan, antara bangsa dan antara sistem hidup yang berbeza.”



Lihatlah begitu ramai tokoh-tokoh agung yang mengajar kita tentang cinta, namun kata-kata mereka hanyalah sekadar teori, kitalah yang akan mempraktikalkannya. Walau cinta tiada dalam silibus pelajaran, mahupun peperiksaan yang perlu dihadapi, namun cinta itu ada dalam silibus kehidupan. Bagaimana kita mencorakkan cinta yang kita miliki, begitulah cara kita memahami tentang cinta itu sendiri.


Sering kita mendengar manusia menyalahkan cinta, padahal cinta tak bersalah apa-apa, kitalah yang bersalah jika tidak pandai untuk bercinta. Teladan orang-orang yang bercinta itu adalah teladannya cinta para Nabi. Begitu Nabi mencintai, kalimat terakhirnya adalah ummati, ummati, ummati..


Begitu juga ketika mengasihi dan mencintai tanpa syarat. Sepertimana ayahanda dan bonda kita mencintai,sentiasa mencintai walau sering dilukai. Seperti mana cinta Tuhan kepada hamba-hambaNya, sentiasa memberi walaupun hamba-hambaNya tidak pernah peduli.


Kata Kang Joon Sang kepada Yujin, untuk mencintai seseorang kita tidak memerlukan alasan, kerana cinta yang hadir bersama alasan akan hilang bila tiada lagi alasan. Jika seorang suami, mencintai isterinya kerana kecantikan yang dimilikinya, pasti cinta itu juga akan pudar bersama pudarnya raut wajah yang jelita. Jika seorang ibu mencintai anaknya kerana kebaikan sifatnya, pasti cintanya juga akan pudar bersama kejelekan sifat anaknya. Namun kasih bonda itu, biar sejelek manapun anak itu, katanya "dia tetap anakku ". Kerana kasih bonda itu adalah cinta, cinta yang Tuhan pinjamkan kepadanya.



Tapi cinta adalah alasan. Alasan untuk kita menjadi derhaka atau orang bertaqwa kepada pemilik segala cinta. Kerana cinta, seorang ayah sanggup membanting tulang memberi makan kepada anak-anaknya, kerana cinta seorang ibu sanggup bertarung nyawa untuk melahirkan kita, kerana cinta seorang isteri memberi taat setia kepada suaminya, kerana cinta seorang pejuang sanggup berkorban nyawa demi agama, kerana cinta juga seorang kekasih sanggup berbuat apa sahaja.




Seperti mana sebuah rumah punya tiang serinya, tiang seri cinta adalah agama. Kata Imam Nawawi "Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, maka hilanglah cintaku padamu".


Tuhan mengajar kita cara bercinta, melalui sekian banyaknya ayat-ayat cintaNya di dalam Al-Quran. Dan ingatlah..


“..orang-orang yang akrab saling kasih mengasihi, pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa...” –surah zukhruf ayat 67.


Kata Habiburrahman El-Shirazy, inilah ayat-ayat cinta dari sekian banyaknya ayat-ayat cinta yang wujud di dunia ini. Cintailah siapa pun, asalkan wadah cintamu adalah Allah.



tatkala rindu datang bertandang,

ku gamit Al-quran di sisi,

kulagukan alunan ayat-ayat cinta,

bersama kudus doa untuk seorang kekasih.



Seorang kekasih yang mencintai kekasihnya tidak mungkin mahu merosakkan kekasih yang dicintainya.


Biarkan cinta ini terus bersemi,

bersama iman di hati,

Biarkan cinta ini terus bersemi,

sehingga di syurga menanti ,

Duhai kekasih hati,

Jangan dikau tunggu daku di neraka ilahi,

kerana di situ tiada cinta yang boleh didefinisi.


Nauzubillahiminzalik. Semoga Tuhan menjauhkan kita dari cinta yang boleh menghumban kita ke nerakaNya.


Kata Attirmidzi "Tinggalkan apa yang meragukanmu, kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan, dan dusta itu menimbulkan keraguan"


Jika hati merasa sangsi kerana cinta yang salah didefinisi, pulanglah dan kembali kepada pemilik segala cinta. Tanyalah hati, kerana sesungguhnya hati merasa tenang dengan kebaikan, tetapi merasa gelisah dengan kejahatan.


Orang yang mempunyai cinta dalam hatinya, akan melahirkan cinta di sekelilingnya. Belajarlah mencintai, dari kalam ilahi, dari orang-orang lama, hatta dari buku sekalipun. Lihatlah cinta dengan mata hati, bukan dengan nafsu haiwani.


Doa Nabi Ibrahim kepada Ilahi:


Ya Allah, kami mohon akan cintaMu,

Kami mohon cinta pada orang yang mencintaiMu,

Dan kami mohon cinta

pada amalan yang akan mendekatkan kami pada cintaMu.


Tuhan ku, andai nanti Kau takdirkan seorang Adam untukku, katakan padanya aku tak punya apa-apa selain cinta. Kerana cinta aku akan setia, kerana cinta aku akan selalu di sisinya, kerana cinta aku akan mengasihinya lillah.


wallahualam.





ikhlas dari Tulip putih

03:40 a.m.30.April.2009

Kolej Pendeta Za'ba.UKM.




Friday, April 24, 2009

Happy Besday..~





Semalam yang baru berlalu, tanggal 24hb April 2009 merupakan hari yang bermakna buat kakak tersayangku Siti Fatihah, selamat hari lahir yang ke 23 kakak. Semoga di panjangkan umur,di murahkan rezeki,berjaya di dunia wal akhirat serta jadi orang beriman.Banyak lagi nak wish kat kakak tapi cukup sampai sini sajalah sebab nak wish untuk pakcik pula Mr.Amir Hamzah bin M.Basir yang hari lahirnya jatuh pada tanggal 25hb April 2009 pula, its today.
Pukul satu pagi semalam saya dah wish besday kat kakak walaupun terlewat 1 jam. Dalam keadaan mengantuk dan pening-pening lalat baru bangun dari tidur hanset dicapai dan mesej khidmat pesanan ringkas berupa ucapan selamat hari lahir untuknya selamat saya send. Kakak dah makin dewasa tak lama lagi boleh la kawen hehe. Hubungan saya dan kakak erat walaupun berjauhan. Seorang berada di Selangor , dan seorang lagi di Kelantan. Dia lah teman baik saya, dia juga teman gaduh saya, apa lagi beza umur saya dan dia hanya satu tahun. Setiap tahun kami tak pernah lupa besday masing-masing, walaupun tak berduit hadiah dari kedai dua ringgit pun dah memadai.
Tapi tahun ni saya tak mampu untuk hadiahkan dia sesuatu sebab duit poket dah kosong.Cuma doa yang dapat saya kirimkan. Seusai exame pagi tadi ade mesej balasan saya terima dari dia yang membuatkan saya tersenyum bagai kerang wangi..
"tq budak, ak ade belikan ole2 tuk ko"
Sepatutnya dia yang terima hadiah dari saya, tapi sebaliknya pula saya yang dapat ole-ole dari dia.. Beshnya.. hehe
Hari ini pula hari lahir pakcik saya, adik kepada ayah. Sempena hari lahir pakcik ni juga Alhamdulillah, pakcik terima jamaah masturat selama 3 hari di rumahnya, iaitu pada 24,25 dan 26hb. Kata makcik saya, terima jamaah bersamaan dengan hari lahir pakcik suatu yang bermakna bagi mereka. Makcik turut ajak saya sertai jamaah masturat di rumahnya disebabkan saya tak boleh ikut serta mereka keluar jadi hanya jamaah yang datang ni saje yang saya boleh ikut. Disebabkan ada exame pagi tadi dan dua hari lagi, bukan rezeki saya untuk turut serta bersama mereka.Mungkin Allah masih tak pilih saya disebabkan lemahnya iman dan amal saya, lepas ni saya kena tingkatkan azam dan banyak doa lagi,dan jaga iman dan amal itu pesan makcik yang selalu, lagi dan lagi.
2 hari lahir, juga 2 kisah orang-orang yang saya sayang .Bagaimana kita menyambut hari bahagia itu, sama ada dengan bertambah lagi iman dan amal atau semakin jauh kita dariNYA . Terpulang pada kita untuk menentukannya. Selamat hari lahir juga saya ucapkan buat sahabat-sahabat yang turut berkongsi tarikh dengan mereka.
Wallahua'lam.