Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, March 28, 2010

novel cinta dalam hatiku~




kenapa tidak engkau membaca hatiku
yang selembut helaian kertas
andai kau selak dengan kasar
maka koyaklah ia
jika tidak kau jaga
beranai lah ia
jika tidak kau peduli
tidakkan kau tahu isinya

bacalah isi hatiku
yang bukan dongengan buku
cuma sebuah novel cinta yang sarat di kalbu
di mana-manapun,tiadakan kau ketemu
novel cinta seperti hatiku

~tulip putih~

Saturday, March 27, 2010


Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.



Wednesday, March 24, 2010

Hadiah untuk ayah


Dinihari itu, dia melagukan ayat-ayat cinta Allah. Sambil berniat semoga pahala itu sampai kepada kekasih hatinya yang jauh. dan tiba-tiba dia teringat, suatu hari, sama seperti dinihari ini, dia melakukan perkara yang sama sambil berniat untuk kekasihnya. Setelah selesai mengalunkan ayat-ayatNya. Dia menutup kitab itu dan menciumnya dengan penuh syahdu, sepantas itu juga dia menerima mesej pesanan ringkas dari dia..

"terima kasih anakku kerana mendoakan ayah, ayah juga selalu mendoakanmu semoga berjaya dunia dan akhirat dan mendapat suami yang soleh". Dia terpegun dan mengucapkan tahmid kepada Ilahi.
" bagaimana ayah tahu?" dia bertanya kembali
"ayah bermimpi anakku"

Dan air matanya bergenang mengingati saat itu. Kerana dinihari ini, dan dinihari yang lain, dan dinihari yang seterusnya walau beribu-ribu ayat dibacanya untuk dihadiahkan pada beliau, dia tidak akan mendapat mesej pesanan ringkas seperti itu lagi. Apa yang penting, tiada lagi doa itu untuk dia.

Air matanya mengalir deras lagi saat mengingati kali terakhir ayat-ayat cinta itu dibaca dihujung telinga kekasihnya.
"Ayah, dengarkan bacaan anakmu ini"
"bukankah bacaanku yang paling ayah sukai dan yang paling ayah ingin dengarkan" dia membisikkan kata-kata itu ke telinga ayahnya yang telah siap dikafan.

Hatinya penuh sesal kerana masa dewasanya, dia telah mengurangi waktunya untuk bertalaqqi dengan guru mengajinya itu.
Satu persatu manik-manik halus berjurai menuruni pipinya. Satu persatu ayat-ayat cinta Allah itu dibacanya dengan harapan si ayah yang telah kaku itu akan mendengarnya.

"Ayah, dengarkan lah bacaan anakmu ini" dia menangis sambil mengimbas kembali saat dia dikenalkan dengan Al-Quran oleh guru mengajinya yang pertama dan satu-satunya, sehingga dia mengenal bunyi qalqalah dan dengung idgham, sehingga dia mampu mengaji dengan lancar walau tak sehebat seorang qari.

Air matanya menitik lagi. "hadiahkanlah dia bacaan Al-Quranmu, semasa hayatnya dia memberitahu makcik bahawa dia sangat suka mendengar bacaanmu, kerana dia yang mengajar kamu dengan tangannya"

Dia baru berhasrat ingin bertalaqqi dengan guru mengajinya itu sempena pulang cuti semester. Rupa-rupanya Tuhan kabulkan hasratnya lebih awal.

Dan dinihari itu, dan pada setiap alunan ayat-ayat cinta Allah yang dibacanya, dia titipkan doa untuk si ayah yang jauh dengan penuh harapan semoga si ayah mendengarkannya di sana dan berbahagia dengan kirimannya..

Ayah...
Terima kasih kerana mendidikku dan mengasihiku
serta mengenalkan aku dengan Al-Quran..
semoga ayah sentiasa bahagia di sana..


Tuesday, March 16, 2010

Rindu~


Rindu..
hati berdebar-debar
mungkinkah kita berjodoh untuk ketemu..?

Tunggu aku..





Tuesday, March 9, 2010


Ya Allah
Jika ini adalah caramu untuk mendidikku
dan mengajarku
kerana kasih sayang Mu
redhakan lah aku..
bantulah aku menghadapinya
tenangkanlah hatiku ini..
dan tunjukkanlah aku jalan yang terbaik


.................

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu perbuatan yang dapat mengantarku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.”


Monday, March 8, 2010

Cinta yang agung..


Adalah ketika kamu menitikkan air mata
dan masih peduli terhadapnya..
Adalah ketika dia tidak mempedulikanmu dan kamu masih
menunggunya dengan setia..

Adalah ketika dia mulai mencintai orang lain
dan kamu masih bisa tersenyum sembari berkata ‘Aku
turut berbahagia untukmu..

Apabila cinta tidak berhasil
…Bebaskan dirimu…
Biarkan hatimu kembali melebarkan sayapnya
dan terbang ke alam bebas lagi..
Ingatlah…bahwa kamu mungkin menemukan cinta dan
kehilangannya..

Tapi..ketika cinta itu mati..
kamu tidak perlu mati bersamanya

Orang terkuat, bukan mereka yang selalu
menang..melainkan mereka yang tetap tegar ketika
mereka jatuh..


~Kahlil Gibran~

Sunday, February 28, 2010

Cinta dia pada memberi~

i'm walking in my memories with you
the tears fill even the deepest area of my heart
what should i do?
even in my dreams, i miss you

Cinta itu adalah memberi. Begitu yang saya pelajari dari dia. Dia tak pernah jemu memberi, sehingga akhir hayatnya dia masih memberi. Kerana cinta itu, dia tidak mengharapkan balasan dari anak-anaknya, walaupun hatinya sering dilukai. Pada wajahnya, saya melihat satu jiwa yang lembut. Pada dirinya juga, saya pelajari kemurahan hati. Dan kemurahan hati itu adalah pada akhlaknya yang tinggi. Pada sesiapa yang datang, tiada hampa mereka pada bantuannya, hatta pada si penipu, dia masih bersikap bermurah hati. Alangkah.. dan dia berkata, bahawa tidak rugi berbuat baik pada siapa pun, kerana Allah akan membalasnya.

Cinta itu adalah memberi. Sama seperti dia. Saat hati merasa letih untuk memberi, terlintas pada memori cinta dia. Dan hati kembali menjadi lembut. dan cinta dia walaupun tak sama dengan Cinta DIA, tetapi masih ada persamaan, iaitu memberi. Pada ketika kita alpa sekalipun DIA masih memberi, DIA memberi ketika kita derhaka, apakah DIA akan meninggalkan kita tatkala kita beriman.

Ya, cinta itu adalah memberi. Perit tatkala asyik kita sahaja yang memberi, tetapi balasannya tiada. Ah, persetankan semuanya, kerana bahagia memberi itu lebih indah, lebih indah dari menerima.

Saya teringat cinta dia lagi. cinta yang dahulu saya pandang sepi, saya pandang sebagai tanggung jawabnya, namun tika dia tiada, saya mulai mengerti bahawa itu adalah cinta, dan saat saya sudah menyedarinya saya kehilangan cintanya. Saya rindu pada saat dia merindukan saya, saya rindu pada saat dia membahagiakan saya. Pada titis air matanya yang mudah mengalir kerana kerenah saya. Pada hatinya yang sering memendam rasa kerana saya. Pada doanya saban hari untuk saya. Dan hari ini, dia tinggalkan saya dalam sayup kenangannya...memberilah...

memberilah walaupun dirimu disakiti..kerana memberi itu mengajar hati erti keikhlasan.Dan saya berharap saya mewarisi cintanya. Cintanya pada memberi..
Ya, Allah, izinkanlah saya untuk memberi sehingga akhir hayat saya sama seperti dia..

Wednesday, February 24, 2010

Ketika Cinta harus memilih~


ketika cinta harus memilih
antara nafsu dan mujahadah
yang manakah bisa menjadi pemenangnya?

ketika cinta harus memilih
antara nafsu dan pengorbanan
yang manakah bisa menjadi pemenangnya?

ketika cinta harus memilih
antara nafsu dan perjuangan
yang manakah bisa menjadi pemenangnya?

ketika cinta harus memilih
antara makhluk dan Tuhan
yang manakah bisa menjadi pemenangnya?

Cinta adalah mujahadah
cinta adalah pengorbanan
cinta adalah perjuangan

Cinta bukan Tuhan
tetapi mencintai Tuhan adalah cinta

...........................

ya Allah, ketika aku harus memilih
bantulah aku untuk memilih diriMU lebih dari segalanya..

Thursday, February 11, 2010

kebisuan rindu~


engkau membisu
aku merindu
pada satu tabir waktu
engkau kukuh di situ
aku terkedu
lidahmu kaku
kita bertemu dalam mimpi yang satu

.....................

Dalam mimpi yang penuh rindu, setiap hari kita bertemu,
ayah..


~Tulip putih~

Wednesday, February 10, 2010

Aura Seni~



Saya pulang dengan hati gembira dan penuh teruja setelah dikelilingi oleh aura penulis-penulis hebat tanah air,Dr.Mawar Shafie, Damya Hanna, cikgu Shamsiah dan pelajar sastera serta penulis muda lain dalam Bengkel penulisan bersama Aminah Mokhtar atau lebih senang dengan panggilan manja kakmin hari ini. Kali pertama saya menjejakkan kaki di situ saya terasa amat kerdil memandangkan diri ini tiada langsung ilmu mahupun karya agung yang pernah tersiar.

Akar cinta, Episod cinta ramadhan, Gerhana Manusia, Dia bukan anak mangsa perang, Tiang seri rumah tuan, Sayalah Walinog seri, Seteguh fikrah Salehah,ku usir lara ini, semoga cepat sembuh adalah antara karya-karya kakmin. Kisah Kakmin, dari seawal usia 9 thn tlh bercita-cita untuk menjadi seorang penulis sehinggalah pengalamannya menjadi jururawat yang banyak menginspirasikan dirinya untuk menulis mengujakan saya. Sebagai seorang juru rawat, pengalamannya banyak diterjemahkan melalui penulisannya. Dia mula mengulas satu persatu karyanya yang terhasil dari pengalaman, dan mulut saya mula melopong (sebenarnya tertutup, hanya retorik) ekpresi dari rasa terkesima dan teruja. Apa yang mengkagumkan walaupun hanya dari mendengar gosip dia boleh menghasilkan sebuah kisah, Dia bukan anak mangsa perang.

teori kakmin amat mudah, menulis dengan hati dan jiwa. Dia mengharapkan karya-karyanya dapat dibaca dengan rasa, dan semoga jiwa dan rasa akan menjadikan karya-karyanya bernyawa. Kata Kakmin lagi, dengan kesibukannya sebagai seorang juru rawat dan menguruskan anak-anak, dia menulis dengan rasa cinta, kerana orang yang sedang mabuk cinta akan merasa bahagia dengan apa yang dilakukannya seterusnya melahirkan rasa tanggung jawab.

Akhirnya saya memohon sedikit nasihat daripadanya bagaimana untuk memasuki bidang sastera ini dengan lebih aktif. Dia menasihati saya untuk meletakkan matlamat dalam bidang ini dan yakin pada diri sendiri. Nasihatnya lagi, untuk menulis juga kita perlu berdoa kepada Allah taala supaya diberikan ilham.

Dari seorang yang hanya menulis blog, saya berharap dapat pergi lebih jauh dan mungkin satu hari nanti saya berharap dapat melakar nama dalam bidang ini sebaris dengan nama penulis-penulis tanah air yang hebat ...

Aminnn..

Dan tiba-tiba saya teringat pada nasihat Dr.Mawar yang pernah mengajar saya subjek pilihan bebas, Penulisan Kreatif, bahawa blog merupakan satu medium untuk mula menulis. Terima kasih Dr.Mawar, dan terima kasih kepada blog saya manisnyaapple, inspirasi dari karya Faisal Tehrani Kerana Manisnya Epal. Dan terima kasih juga kepada arwah ayah yang mana saya sebenarnya mewarisi bakat menulis daripadanya. Dan terima kasih juga kepada semua kerana menyokong saya...

Saya ingin menulis dan terus menulis...
dan saya ingin pecahkan dinding yang mengelilingi saya..

Hopefully....




-Khadijah Abd Latip @ Tulip Putih-