Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, March 16, 2009

Cinta itu bukan Cinta paksaan..

Hari ini hari bekerja.

Hari ini bukan hari perayaan. Ia adalah hari bekerja dan berusaha.

12 Rabi’ ul-Awwal adalah tarikh kewafatan Baginda SAW.

Tidak banyak yang boleh diraikan, melainkan tinggalan Baginda berupa tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan Islam, dalam gelutan rasa rindu kepada Baginda, yang telah terdahulu merindu untuk bertemu saya dan kita semua, di usia hayatnya.

Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian manusia (riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah)

Bunyinya seperti cinta paksaan.

Tidak sempurna iman jika tidak mengasihi baginda melebihi segalanya.

Tetapi perhatikanlah dialog di bawah, tatkala Baginda Sallallahu ‘alayhi wa sallam menziarahi perkuburan al-Baqi’:
Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam telah pergi ke kawasan perkuburan dan berkata, “sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami Insya Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita”. Sahabat bertanya: Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang mukmin) yang belum muncul (i.e mukmin di masa hadapan) – [Riwayat Muslim]

Tidakkah gila jika seorang lelaki rindukan seorang calon isteri, sedangkan calonnya belum ada!!?
Namun Baginda telah merindui kita sebelum kita ada.

Baginda melihat perkuburan, menginsafi bahawa dirinya tidak kekal dan akan kembali kepada Dia. Pastinya baginda tiada peluang untuk bertemu dengan saudara-saudaranya.
Siapakah saudara-saudaranya itu? Tidak lain dan tidak bukan, KITALAH WAHAI SAUDARA DAN SAUDARI…

Kali terakhir kuberpeluang menziarahimu… lebih 10 tahun yang lalu
Cinta kepada Baginda sebagai syarat sempurna iman itu bukan cinta paksa, kerana Baginda telah terlebih dahulu menyintai kita. Merindui kita. Sebelum kita ada…
Apakah cinta kita kepada Baginda sehebat itu?

Dalam keletihan dan kesakitan oleh tubuh yang tidak sekuat tubuh Baginda, diri ini merintih, “ya Allah, kurniakan padaku cinta kepada Baginda, sehebat cinta Baginda kepada umatnya… biar pun sekadar cebisan darinya”.

Selawat dan salam ke atasmu ya Rasulallah, syafaatkan kami di hari pertemuan kita… dengan ikhtiar perjuangan yang tidak seberapa ini. Ameen ya Rabbal ‘Aalameen.

ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/
56000 Kuala Lumpur
12 Rabi’ ul-Awwal 1429H

Sunday, March 1, 2009

Syarah Al-Hikam, hikmah 1

SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.


Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan batin.
Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu.
Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan seseorang atau sesuatu.
Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:

“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )

Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.

Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya

Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.

Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.

Apabila rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.


Jadi, ada golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah Allah s.w.t.

Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.


Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:


Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah

“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )


Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )

Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat


Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.

Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.

Yah..,aku anak jawa..

Bismillahirrahmanirrahim..

"Ija anak jawa.."

Kata mak cik ku sewaktu masih kecil, aku satu-satunya anak ayahku yang mengaku dirinya jawa, dan kerana itu aku lebih rapat dengan ayahku berbanding yang lain.Tapi itu sewaktu kecil, yang mana memoriku sebahagiannya telah hilang mungkin akibat selalu jatuh.

Orang kata tak kenal maka tak cinta.Semakin aku membesar dan menginjak remaja aku makin malu jika dikata aku ini anak jawa. Entah kenapa, mentaliti sebagai anak jawa itu sangat rendah. Jika ada yang bertanya aku ini orang jawa, aku hanya mendiamkan diri. Ya, sememangnya darah jawa itu mungkin masih ada dalam darahku, tapi untuk bercakap dalam bahasa jawa sepatah haram pun aku tidak tahu. Ini kerana darah jawa yang aku warisi dari ayah telah bercampur dengan darah patani dan bugis. Iya, iyalah jawa tapi kata orang jawa totok, maksudnya bukan jawa asli.

Bila dah kenal pasti jatuh cinta. Ya, pertama kali aku mula jatuh cinta dan mula mengenali apa itu yang dikatakan jawa, ketika menonton drama Pesantren Cinta yang disiarkan di Astro Prima. Heronya, tidak terlalu ganteng, tapi bahasa jawanya lembut, tutur kata dan tingkahnya pula sopan. Semenjak itu aku dan adik sangat suka jika dapat mengajuk logaht jawanya (jawa halus).

Semakin ku dewasa, semakin aku mengenali sifat-sifat orang jawa. Aduh.., aku makin jatuh cinta, apa lagi semasa kursus pra-perkahwinan yang diadakan di UKM, penceramah-penceramahnya pula orang jawa yang ternyata bagiku punya kriteria yang bagus lebih-lebih lagi ustaz Alwi bin Parman yang pandai berhumor dan juga penceramah lainnya.Dan lagi bila teringatkan pakar motivasi yang berkaliber, iaitu Dr.Fadhilah Kamsah itu juga orang jawa.

Aku makin jatuh cinta bila membaca buku karya kang Abik iaitu Ketika Cinta Bertasbih, tentang hero dan heroinnya yang berdarah jawa iaitu Khairul Azzam dan Anna Althafunnisa. Ternyata sebenarnya, orang jawa itu sifatnya yang ku ketahui, pemurah, baik hati, beragama, dan yang pentingnya ringan tulang, itu yang pentingnya loh..kriteria calon suami yang penting hehe...
dan banyak lagi sifat orang jawa yang bagus.

Abaikan segala keburukan dan persepsi negatif tentang orang jawa, sebab yang aku mahukan hanya positifnya.Bukanlah maksudku menulis ini untuk membanggakan orang jawa tapi sebagai motivasi diri bahawa orang jawa atau melayu atau siapa pun punya potensi diri dan sifat-sifat positif yang mana rasa rendah diri itu perlu dihindari, kerana seringku dengar orang membanggakan dirinya dengan keturunannya dan merendahkan keturunan orang lain.

Apa yang penting, hayati kata-kata ini, 'apa ada pada keturunan?'. Tapi aku tetap mahu mengatakan " yah, aku bangga aku anak jawa.."

Thursday, February 26, 2009





Permulaan dari semua maksiat dan kelalaian serta syahwat itu kerana ingin memuaskan nafsu.
Sedangkan asas dari segala ketaatan, kesedaran dan kesopanan akhlak budi, ialah kerana ada pengekangan terhadap hawa nafsu. Dan sekiranya engkau berkawan seorang bodoh yang tidak menurut hawa nafsunya, lebih baik daripada berkawan seorang alim yang selalu menurut nafsunya.Maka ilmu apakah yang dapat digelarkan bagi seorang alim yang selalu menurut hawa nafsunya, sebaliknya kebodohan apakah yang dapat disebutkan bagi seorang yang sudah dapat mengekang hawa nafsunya.


-Ibnu Athaillah As-Sakandari.



Ukhuwah dan sebiji epal..

Bismillahirrahmanirrahim..



Ukhuwah itu indah. Sebenarnya tiada analogi yang dapat menggambarkan keindahan ukhuwah itu. Ukhuwah kerana Allah taala. Tiada apa yang lebih menarik di hati bila bertemu, berpisah,merasa kasih dan sayang hanya keranaNya.



Entry ni khas untuk En.Khaza yang mempertikaikan kenapa saya gunakan epal sebagai analogi ukhuwah. Memang sengaja saya gunakan buah epal sebagai analogi. Buah epal bagi saya punya bau yang wangi, bentuk dan warnanya menarik, tapi sebenarnya kemanisan itu lah yang saya ambil menjadi inti pati bagi mentakrifkan definisi ukhuwah itu. Ukhuwah itu kan sebuah rasa. Terpulang pada kita untuk memilih pentakrifan ukhuwah itu bagaimana.Jangan biarkan buah epal itu sampai menguning, dan lagi jika ingin beri buah epal itu tahan lama rendam dengan air garam, tapi yang pasti rasanya akan berubah, tak sama dengan yang asli. Jika ukhuwah itu analoginya epal, maka epal itu harus dimakan ketika masih segar baru kita boleh merasa kemanisan dan kelazatannya. Dan lagi epal itu bukanlah sebarangan epal, pastinya epal yang berkualiti..

Yang pastinya, apa pun analogi yang saya atau sahabat-sahabat berikan terhadap ukhuwah itu pasti akan ada akhirnya.Ya, pengakhiran buah epal itu adalah untuk dimakan atau dibiarkan busuk dan akhirnya dibuang. Begitu pun ukhuwah, pengakhirannya adalah sebuah perpisahan sama ada dengan kematian atau sebab-sebab yang lain, tapi yang pasti, yang akan tinggal itu adalah rasanya. Rasanya yang manis pasti akan menjadi kenangan dan simpanan dalam hati kita.

Saya hanya menulis dari hati, sahabat-sahabat yang akan menilai dengan hati..

Wednesday, February 25, 2009

Berikan aku keikhlasan hati...


Allah, Allah, Allah
aku merindui mu duhai Allah
ampunkan dosaku Allah
aku tak tahan mehnah dan ujian
sedang Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
aku mencari dan terus mencari
aku menanti dan terus menanti
aku mencari damai di hati
aku menanti sebuah janji
malu untuk ku mengakui
betapa lemahnya iman ini
Allah, Allah, Allah
Allahu Robbi
berikan aku keikhlasan hati
supaya satu hari nanti
aku bertemu Mu dalam keadaan suci
aku hambaMU:
Tulip Putih

Izinkan ku terus mencintaimu...


“..orang-orang yang akrab saling kasih mengasihi, pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertaqwa...”
–surah zukhruf ayat 67.
........
Kekasihku
izinkan aku
mendendangkan kalimat cintaku
cintai lah aku
kerana Tuhanku
biarkan aku
terus mencintaimu
dan menunggumu
dalam syurga tuhanku
Al-Muhaiminu
uhibbu, uhibbu..
Tulip Putih
2:00 a.m,25.Feb.2009.
Kolej Pendeta Za'ba.UKM

Tuhanku, iradat itu hak MU..


Tuhanku, iradat itu hak-Mu,
doa itu kepunyaanku,
aku meminta aku meminta
tak Kau kurniakan tak mengapa
jika tak Kau beri semakin kenal aku diri-Mu
jika Kau beri kesejahteraanku pulangkan pada-Mu


Sejauh ini sudah ku kenal kebesaran-Mu
Sedekat ini sudah ku rasai kewujudan-Mu



Tuhanku pun,jika Kau tak beri
seperti biri-biri mencari Ibu
aku tersesat langkah di lereng-lereng
gunung Anadolu
seperti salji keras batu dan membeku
tak punya batini
andai Kau beri
aku jadi salji mencair
menyegar basah permukaan bumi
ranting-ranting anggur tumbuh lagi
burung-burung berkicau di awal musim semi
daun-daun menghijau kembali
matahari datang lagi
amat ku kasih amat ku cinta
maka aku meminta


Iradat adalah hak-Mu
tak aku ingkari
meminta adalah hakku
kerana dengan merayu
Kau jadi Kekasihku
aku jadi perindu



aku meminta aku meminta
tak Kau kurniakan tak mengapa
jika tak Kau beri
semakin kenal aku diri-Mu
jika Kau beri kesejahteraanku
pulangkan kepada-Mu.


-Faisal Tehrani

Tuesday, February 24, 2009

Jika tiada Cinta..


“Jika tiada cinta, peradaban dunia akan membeku. Cinta adalah penaka lautan; seluas dan sedalam daya jelajah hati nurani manusia itu sendiri. Cintalah yang semestinya menjadi asas utama bagi hubungan antara manusia, antara kebudayaan, antara bangsa dan antara sistem hidup yang berbeza.”

-Jalaludin Ar-Rumi.



Aku masih mencari..



Aku masih mencari
Cinta Ilahi
Dalam perjalanan musafir diri
Berkelanaku seorang diri
Aku mencari dan terus mencari
Lalu ku cuba koreksi diri
Akhirnya mengundang gusar di hati
Layakkah untuk ku tempati
Ruangan paling dalam cinta Ilahi..

Tulip Putih
10:04 p.m, 24.Feb.2009
Kolej Pendeta Za'ba. UKM.