Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, October 4, 2009

Menangislah wahai air mata..


menangislah wahai air mata
jangan ditahan ia
jangan dibendung ia

menangislah wahai air mata
luahkan segala derita
biar tenang nanti jiwa

menangislah wahai air mata
balut segala duka
benamkan segala lara

menangislah wahai air mata
pejamkan mata
biar jatuh ke bumi titis mutiara

menangislah wahai air mata
kelak engkau tidak lagi berputus asa

menangislah wahai air mata
kelak akan melembutkan jiwa

menangislah wahai air mata
kelak nantinya engkau akan tersenyum bahagia

menangislah wahai air mata
kerna Tuhan tidak menciptaMU dengan sia-sia



sunday.October,04,2009.8:39 p.m
Kolej Pendeta Za'ba.UKM, Bangi

Alhamdulillah atas sebuah derita..






Hujan yang turun, bagaikan mutiara
bersamanya, ada derita yang dirasa
sungguh tak tertahan gelodak jiwa
kenapa ujian ini yang dihadiahkan NYA






Hujan yang turun
menitis ke bumi, membelah udara
hati menangis, menggumam jiwa
air mata tiada surut bermujahadah
membanjiri sajadah, dalam tahajud cinta






Hujan yang turun
lupus jua akhirnya
titisnya bukan untuk selamanya
titisnya menyuburkan iman di dada
kelak, sinar sang suria menggantikannya







Ah, lihat..

Hujan yang turun tiada sia-sia
bersamanya, ada pelangi indah
warnanya menggamit jiwa
hilang sudah segala derita
yang tinggal hanya bahagia



..............................................................................



Saat Tuhan beri kita bahagia
kita sering terleka dan diulit fatamorgana


Saat Tuhan menciptakan derita untuk kita
sering kita terlupa untuk berterima kasih padaNYA


dan
Hari ini...

mulailah berkata..

Tuhan, terima kasih atas sebuah derita
hadiah yang sungguh berharga
tak ternilai oleh apa pun jua


Tuhan, terima kasih kerana masih cinta
pada hamba
yang masih berlumuran dosa

.....


Kita pada hari ini, adalah kerana kita pada waktu silam
jangan biarkan ia terus menjadi kelam


ucapkanlah Alhamdulillah sentiasa..




Saturday, October 3, 2009

Cerpen: Jangan Ambil Separuh



Jangan ambil separuh
Oleh:Khadijah Abdul Latip


Ingin aku menggapai bintang,
Antara beribu cahaya yang kelam,
Aku mencari satu yang terang,
Kemilau warnanya di mataku,
Kemilau cahayanya di mata Tuhanku,
Bintang di langit malam,
Tunjukkan istikharahku yang kelam.


Di luar, cuaca masih gelita,embun pagi masih bergenangan di dedaunannya, wap-wap yang naik ke permukaan bumi mewujudkan cuaca sejuk, berbau segar. Bau yang amat aku gemari. Cuma cahaya-cahaya dari rumah-rumah yang menerangi, menandakan penghuninya telahpun bangkit siap siaga untuk mengabdikan diri kepada Tuhannya.

Tak lama selepas itu azan pun berkumandang, aku langsung melakukan solat subuh berjamaah dengan ummi menjadi imamnya. Aku yang meminta begitu, bukan kerana tiada laki-laki di dalam keluargaku, tetapi abang-abangku kesemuanya telahpun berhijrah ke bandar, menetap dan berkeluarga di sana dan tinggallah aku seorang perempuan tunggal dan bongsu di rumah menemani ummi dan abah sempena cuti semester pengajian masterku. Abah pula saat taat mengerjakan solatnya di Masjid pada setiap waktu. Suatu kekaguman yang telah semakin lupus dari hatiku terhadap anak muda hari ini.

“Nduk punya suara yang merdu, mengaji bagus lagi, kenapa mahunya ummi?”

“Iman rindu pada suara ummi, punya ruh bila mengaji, tak sama dengan iman, lagi pulakan sejak Iman pulang, sudah selalu jadi imam, ummi”. Puas kupujuk, akhirnya ummi akur dengan desakanku.

Hari itu, ummi mengimamkan solat subuhku syahdu sekali. Surah An-Nuur dibacanya, dan apabila sampai kepada ayat yang ke 32, ummi mengulang bacaannya sebanyak 2 kali.

“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.”

Hatiku bergetar. Sungguh, aku merasa sangat tersindir dengan ayat tersebut. Ummi sesungguhnya sangat halus, dalam bicara dan tingkahnya. Aku tak terdaya menahan rasa.

Usai wirid, aku menyalami ummi dan mencium kedua pipinya. Saat tangan ini mahu dileraikan, dia menggenggamnya erat.

“Tunggu dulu nduk, ada sesuatu yang ingin ummi bicarakan,”. Pandangannya yang lembut melemahkan seluruh sendiku. Aku tidak jadi bangun, dan terus duduk menghadapnya.

“Nduk bukan semakin muda, sudah ramai yang bertanya”, Ummi memulakan bicaranya.

Ah, aku sudah dapat menangkap isi kandungan yang ingin diperkatakannya. Sejak akhir-akhir ini, bukan aku tidak tahu persoalan jodohku menjadi buah mulut makcik-makcik bermulut lebar di kampung ini. Pasti saja hal itu menyebabkan kerisauan ummi. Walau ku tahu ummi sangat tabah menghadapi umpatan mereka, namun jauh di sudut hati kecilnya, ummi turut terguris bila nama anak perempuan bongsunya dijaja kesana kemari, menjadi umpatan di kenduri-kenduri dan di majlis-majlis tak rasmi penduduk kampung.

“24 tahun itukan masih muda ummi, lainlah kalau iman sudah berumur 100 tahun.”. Aku cuba berjenaka. Aku merasa sedikit lega bila melihat ada senyuman terukir di bibirnya.

“Alon-alon, asal kelakon”. Aku yakin ummi faham maksud filosofi suku jawa yang sememangnya berdarah daging dalam dirinya.

“Mahu pilih calon suami kan gak perlu kemrungsung. Bukan bererti lambat, tetapi memilih penuh dengan hati-hati dan pertimbangan”. Aku cuba menyedapkan hatinya lagi.

“Tapi yang datang padamu bukanlah calang-calang orangnya. Semuanya punya latar belakang agama yang bagus”. Ummi membidasku kembali. Aku merasa terpukul. Memang mereka punya latar belakang agama yang bagus, tetapi entah kenapa aku merasa ragu-ragu, ditambah lagi dengan istikharahku yang menyebabkan aku jadi semakin tawar hati. Bagiku, tahu sahaja tidak mencukupi jika tidak faham dan tidak amal.
Aku jadi terus teringat pada suatu Hadis Nabi, “Barang siapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Allah akan memberikan pemahaman yang dalam terhadap agamanya”. (Bukhari-Muslim)

“Semalam, ada lagi yang bertanyakanmu” Aku menelan liur. Bingung.Ada apa lagi pada diri ini sehingga mereka berkenan padaku.

"Pak johari meminangmu untuk anaknya yang baru habis belajar di Amerika”. Pak johari?, aku cuba mengingat satu persatu wajah anak-anaknya. Kesemuanya lelaki.

“ Yang mana satu ummi?”, aku cuba mendapatkan kepastian dari ummi.

“Azman”. Ah,Azman si jongos yang kebaratan itu rupanya.

“Ummi sudah tahu jawapan Iman”. Keputusanku muktamad tanpa perlu dibawa ke medan perbincangan akal mahupun istikharah. Aku tak mampu untuk membimbing, kerana aku sendiri perlukan bimbingan. Biarlah suamiku nanti seorang yang dapat menjadi imam dan nakhoda kepada bahtera rumahtangga kami nanti.

Ummi memandang ku tajam, mungkin agak terkejut dengan tindakanku yang menolak mentah-mentah, sedangkan pinangan sebelum ini pun aku meminta masa untuk beristikharah. Namun akhirnya, mata itu mengalah. Dia arif kenapa aku menolaknya.

“Ummi dan abah tidak mahu memaksamu, nduk. Cumanya, jika kamu sudah punya yang lain beritahukan kami, supaya kami tidak risau lagi. Dan jika ada yang bertanya lagi, kami sudah punya jawapannya”. Suara ummi lirih.

“Atau nduk masih punya rasa pada mahasiswa Al-Azhar itu lagi?”. Kata-kata ummi yang seterusnya menyentap batinku. Kenangan semalam yang aku usahakan memadamnya telah disingkap kembali.

Mataku dialihkan, menatap pekatnya subuh disebalik jendela yang terbuka. Satu persatu lembaran sejarah yang pernah aku tutup suatu masa dahulu, cuba ku uraikan kembali. Dia yang menyebabkan aku menjadi seorang yang prejudis dan pesimis. Prejudis dan pesimis terhadap sebahagian golongan agamawan.

Aku menggelengkan kepala, “bukan dia atau siapa-siapapun ummi”.

“Lalu, apa yang ditunggumu lagi nduk?”. Ummi menatap wajahku memohon kepastian.

Di luar, suara cengekerik masih tidak mahu berhenti. Mentari masih segan-segan menampakkan dirinya. Sedikit-sedikit, subuh yang tadinya gelap pekat mula bertukar warna kepada kebiruan. Kabus tebal masih juga menyelubungi alam. Pasti sebentar lagi abah pulang dengan membawa juadah sarapan pagi dari kedai Pak Amit. Aku merebahkan kepala di simpuhan ummi. Selesa sekali. Suatu rutin yang akan aku lakukan bila setiap kali ingin bermanja dan menceritakan rahsiaku pada ummi.

“Iman menunggu putera agama ummi”. Aku bersuara setelah mendapatkan kekuatan.

“Putera agama yang beriman, soleh dan bertaqwa seperti abah”, aku menambah lagi.

“Iman tahu Iman bukanlah seorang gadis solehah yang sempurna, Cuma Iman mahu pendamping yang dapat bantu Iman menuju syurga Allah”.

“Iman mahu sempurnakan sebahagian agama Iman yang masih tak sempurna”. Aku mahu ummi tahu kenapa aku amat cerewet memilih calon suami. Perkahwinan bagiku merupakan satu perjudian.

"Mungkin agak sulit untuk Iman memilikinya,tetapi Iman akan terus berjuang dan bersabar”.

“Iman yakin Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar”.

Ummi terharu mendengar luahan hatiku. Lama dia menyepikan diri. Aku mengalihkan sedikit posisi kepalaku supaya selesa menghadap wajahnya. Kulihat dia menyeka air matanya. Ah, dosa apakah yang telah aku lakukan sehingga menyebabkannya bersedih.

“Nduk sama sekali seperti ummi suatu ketika dahulu”. Dia memecahkan sepi antara kami, mengusap kepalaku yang masih bertelekung.

“Tapi nduk, ingin miliki yang soleh itu banyak sekali risikonya”. Bicaranya lembut dan tersusun, namun aku tidak mengerti maksudnya.

“Ah, masakan miliki yang soleh itu juga satu risiko ummi?”. Aku bertanya lembut.

“Sepatutnya, miliki yang tidak soleh itulah yang risiko”. Aku cuba mendapatkan kepastiannya.

“Kalau nduk mahu yang soleh, tak boleh ambil separuh-separuh”. Ummi menatapku lembut.

“Maksud ummi?”. Aku jadi tidak sabar mendengarnya.

“Iyalah nduk, maksudnya begini, kalau nak yang soleh, mungkin yang soleh itu tidak kaya, atau tidak hensom”.

“Atau boleh jadi juga dia mahu berpoligami, yang pentingnya dia soleh”. Kata-kata ummi sedikit sebanyak mula menggugatku.Aku mencemikkan wajah tanda protes. Persoalan poligami terlalu sensitif untuk dibangkitkan. Aku seorang yang sangat pencemburu, hatta wanita lain juga pasti begitu.

Ku lihat ummi tetap tenang dengan tingkahku. Dia menyambung lagi "mungkin juga kita akan selalu ditinggalkannya, kerana dakwah adalah perjuangan dan cintanya yang pertama". Aku terkedu dengan kata-kata ummi. Rupanya, untuk dapatkan yang soleh itu tidak mudah.

“Iman pasti ingat lagikan, sewaktu Iman kecil-kecil dahulu, Iman selalu bertanyakan kemana abah?”.

“Kadang-kadang, sebulan abah tidak pulang, adakalanya sampai empat bulan”. Aku mengangguk mengiakan. Teringat sewaktu kecil dahulu aku merasa aneh kerana kanak-kanak lain punya ayah yang selalu berada disamping mereka, sedangkan aku hanya punya ummi. Dan bila kutanya pada ummi, ummi hanya menjawab “Abahmu keluar jalan Allah, nduk”. Dan semakin aku meniti dewasa, aku mulai faham maksud ummi. Aku tidak lagi memepertikaikan kenapa abah sering tidak ada di rumah. Aku juga tidak lagi peduli dengan usikan kawan-kawan sepermainanku.

“Nah, nantinya bila Iman jadi ibu, giliran Iman pula menjelaskan pada anak-anak”. Aku tersenyum membayangkan bagaimana nantinya diriku bila bergelar seorang ibu. Pasti tidak sama sekali dengan ummi.

“Jadi seorang isteri pada seorang laki-laki soleh, dan ibu kepada anak-anaknya tidak mudah”. Ummi menyambung bicaranya.

“Ada ketikanya tiada makanan yang boleh dimakan sehari-hari, orang lain sibuk mengumpul dan menyimpan harta, abahmu sibuk pula membahagi-bahagikannya”.

“Tiada emas mahupun perhiasan seperti orang lain”.

“Setiap hari dia membangkitkan ummi dari tidur untuk bertahajud”.

“Walau dalam keadaan susah macam mana sekalipun, tahajud tak pernah ditinggalkannya”.

“Katanya, ayuh, bangkit isteriku, mari kita berjuang untuk bertemu di syurga Allah”, suara ummi bergetar sewaktu menuturkannya sekaligus meruntun hatiku. Dalam diam aku mengalirkan air mata, terharu mendengar kisah antara ummi dan abah. Bisakah aku meneladani mereka?. Aku bertanya pada diri.

“Iman tahu tak kenapa bila kita berbuka puasa kita disunatkan minum air sejuk dan makan buah tamar?”. Ummi membuang pandangannya keluar jendela. Ingatannya cuba dibawa kembali ke zaman Rasulullah.

“Kerana itu yang dilakukan oleh Rasulullah”. Aku menjawab dengan penuh yakin.

“Iya nduk, memang kerana itu yang dilakukan oleh rasulullah. Tetapi kita perlu faham kenapa Rasulullah melakukannnya”.

“Kenapa ummi?, bukankah kerana itu makanan yang tersirat banyak kebaikan?”, aku bertanya seperti anak kecil.

“Nah nduk, hari ini, kita amalkan sunnah baginda, tetapi kita jarang sekali mentadabbur kisah disebaliknya". Wajahku panas seperti termakan cili.
"Rasulullah itu, hanya minum air sejuk dan buah tamar kerana itu sahaja yang dimilikinya. Buah tamar itu pula dibahagi dua dengan isterinya”.

“Nduk, jika kita faham, tahu dan amal dengan sepatutnya, ia akan melahirkan rasa taqwa dan cinta kita kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya, malah melebihi seisi dunia ini”. Ummi menyambung lagi.

“Setiap hari nduk, sebaik bangun pagi, Rasulullah akan bertanya pada isteri baginda, ada makanan apa yang boleh dimasak?. Jika tidak ada, Rasulullah akan menyarankan mereka berpuasa pada hari itu”.

“Lihat nduk,bukankah Rasulullah itu seorang suami yang sangat soleh?”.

“Jadi nduk, jika mahu yang soleh yang sama akhlaknya dengan Rasulullah, kita perlu siap hadapi risikonya”.

Aku menjadi terkedu dengan penjelasan ummi yang panjang lebar. Tak semena-mena aku jadi terus teringat, sewaktu kecilku dahulu, aku selalu duduk dipangkuan ummi ketika ada saudara-mara mahupun jiran tetangga yang datang berziarah. Ada yang tidak faham menuduh abah seorang suami dayus dan tidak bertanggung jawab, meninggalkan keluarga terlalu lama dan tidak memberi nafkah, membiarkan isteri dan anak-anak tanpa harta. Ummi hanya tersenyum mendengarnya dan tak semena-mena dia berkata “aku bahagia bersuamikannya”. Walaupun pada waktu itu,aku tidak dapat memahami situasi yang ummi alami, tetapi setelah dewasa aku mengerti ummi memang memaksudkannya.

..........................................................................

“Ada apa yang dimenungkan itu, nduk?” Suara abah yang tiba-tiba, menyentakkan ku dari lamunan yang panjang. Aku memusingkan badanku mencari arah suaranya. Abah sedang berdiri di muka pintu memandangku.

“Dah lama abah di sini, dari tadi abah lihat nduk mengelamun tak sudah-sudah”.
“Sudah dipanggil dua tiga kali tidak menyahut-nyahut”.

“Ada apa yang menggusarkan hatimu, nduk?”.

Tak semena-mena air mataku mengalir dengan deras. Palitan makeup yang mendasari wajahku tidak lagi aku pedulikan. Aku segera mendapatkan abah dan memeluknya. Abah terpaku dengan tindakanku. Lama, baru dia bertindak balas memelukku kembali. Erat sekali.

“Malu ah, sudah gedik menangis lagi, habis nanti tidak cantik pengantin abah ini”. Suara abah bergetar menahan rasa.

“Iman rindu pada ummi”. Aku meluahkan rasa. Sudah hampir dua tahun ummi menghadap ilahi. Ummi pergi dalam keadaan yang amat mudah. Wajahnya berseri, dan ada senyum terukir di bibirnya. Ada bau harum kasturi melebihi bau kapur barus.

“Bagai baru semalam Iman bermanja dengannya, mendengar ceritanya”. Aku meluah rasa.

“Iman yakin bakal suami Iman seorang yang soleh seperti abah, tapi Iman tak yakin dapat jadi isteri solehah seperti ummi”.

“Kalaulah ummi ada di hari bahagia ini”. Aku tersedu-sedu menahan sebak di dadanya.

Lama abah terdiam mendengar luahanku. Terasa ada air yang menitis di bahuku. Abah menangis.

“Ummimu seorang isteri yang solehah nduk”. Suara abah lirih sekali.

“Tak ada seorangpun yang mampu menggantikan tempatnya, hatta beribu bidadari syurga sekalipun”. Abah menyeka air matanya.

“Dia menguatkan abah ketika lemah, membahagiakan abah ketika abah sedih dan menyokong abah ketika abah tak berharta, sedangkan sebenarnya dahulu ummimu itu anak golongan bangsawan, punya harta dan kedudukan”. Aku terkesima. Baru hari ni aku ketahui kebenaran itu. Subhanallah, sangat rapi ummi menjaga rahsianya sehingga tiada soal keturunan dibangkitkan. Ya Allah, masukkanlah ummi dalam golongan orang-orang yang memiliki syurgaMu. Hatiku berdoa meminta kepadaNya.

“Nduk sama sekali seperti ummi suatu ketika dahulu”. Kata-kata abah itu menambahkan senduku. Sama sekali bicaranya dengan ummi.

Abah melepaskan pelukannya. Air mataku diseka. Dia lalu mengucup dahiku sambil berdoa, “Ya Allah, jadikanlah Nurul Iman anakku ini seorang isteri yang solehah sama seperti arwah ibunya”. Dan air mataku tumpah lagi.

................................................................

Malam sudahpun melabuhkan tirainya. Di dalam kamar pengantin yang dihias indah, hanya tinggal aku dan dia, lelaki yang pernah menghuni mimpiku suatu ketika dahulu, lewat istikharahku yang tidak pernah putus kepada Allah. Beribu hamdalah bergema dalam hatiku, mengucap syukur atas kurniaanNya. Getar dan debar semasa majlis membatalkan air sembahyang pagi tadi masih belum surut, kini aku disajikan dengan getaran dan debaran yang lebih hebat lagi. Malam ini akan bermulalah episod kisahku sebagai seorang isteri kepada seorang lelaki yang aku yakin akan kesolehannya.

Usai mengerjakan solat isya’ dan solat sunat dua rakaat berjamaah, dia membaca doa panjang, mohon diberkati pernikahan ini, mohon diberi kekuatan yang tidak berbelah bahagi dalam membina sebuah rumah tangga yang mawaddah, mohon dikurniakan zuriat dan keturunan yang soleh dan solehah, dia lalu mengalirkan air mata. Katanya kepada Zat Pencipta, terima kasih kerana mengurniakannya seorang gadis manis yang solehah sepertiku sebagai isterinya. Dia benar-benar bersyukur.

Kemudian, dia membalikkan badannya menghadapku. Untuk kali yang kedua setelah diijab kabulkan aku menyalami dan mencium tangannya. Hatiku bergetar hebat. Dengan suara yang tersekat-sekat aku mula bersuara

“Kakanda, bantu dinda untuk bertemu denganmu di syurga Allah”.
“Bantu dinda untuk jadi seorang isteri yang solehah”.

Dia terharu mendengarnya. Air mataku diseka, dan diapun mencium kedua keningku, lalu dia membaca satu doa di ubun-ubun kepalaku. Doa pengantin baru. Selesai berdoa dia mengucup keningku lagi dan berkata,

“InsyaAllah dindaku sayang, mulai hari ini, mari kita berjuang untuk bertemu di syurga Allah”.

Malam itu menjadi saksi sebuah ibadah yang di bina atas namaNya, beribu hamdalah ku panjatkan kepada yang Maha Esa. Dan aku seperti melihat ummi tersenyum kepadaku dan berkata,

“Kalau nduk mahu yang soleh, tak boleh ambil separuh-separuh”.

....................................................................

Glosari :

Nduk – panggilan sayang untuk anak perempuan bagi suku jawa.
Alon-alon asal kelakon – filosofi yang digunakan oleh suku jawa untuk menggambarkan sifat orang jawa yang teliti dan sabar dalam membuat sesuatu pekerjaan. Di dalam bahasa melayunya hampir sama maksudnya dengan ‘biar lambat asal selamat’.
kemrungsung-terburu-buru.
gedik-besar.

........................................................

Ulasan penulis: Cerpen ini tiada kena mengena dengan yang hidup atau mati, cuma sebuah kisah yang diadaptasi dan digarap dari pengalaman penulis dalam forum monyetnya cinta kita, juga pengalaman penulis dengan orang disekelilingnya. Cerpen ini merupakan sebuah assignment penulis dalam subjek penulisan kreatif dan telah diizinkan oleh pensyarahnya untuk disiarkan oleh penulis di dalam blognya.

Friday, October 2, 2009

Diserang sakit gigi : >




Saya diserang sakit gigi. Dihujung geraham kanan tumbuh satu gigi comel yang telah memakan ruang pipi. Gusi menjadi bengkak. Kata kawan-kawan, itu geraham bongsu. Geraham bongsu?, saya fikirkan tahun lepas gigi yang tumbuh itu geraham bongsu. Tambah mereka lagi, gigi geraham bongsu tidak tumbuh secara serentak. Dalam hati, saya tersenyum geli hati kerana kejahilan diri. Sambil mengutuk diri sendiri, "tu la, take for granted lagi" .


Kesakitan yang menyelubungi sebahagian pipi dan kepala yang hampir menjerumuskan kearah demam menyebabkan saya melumatkan kemalasan dan meringankan diri untuk pergi jua ke Pusat Kesihatan UKM. Akhirnya Dr mengisahkan bahawa gusi saya membengkak dan tak lama lagi gigi ini bakal dibedah. Semasa membuat appointment di bahagian kaunter hadapan, saya dengan tak malunya pun terus bertanya "err..cabut gigi sakit tak?"...


Pulang dari PK, sebaik sahaja kaki menjejak bilik, saya mendapat panggilan telefon dari makcik di Kuala Selangor..lama mendengar dia bercerita, akhirnya dipenghujung bualan saya menyuarakan masalah yang dialami "err...makcik tahu tak penawar sakit gigi..?"


Sebagai keputusannya dia meminta saya membuka kitab fadhail amal bab fadhilat Quran..


Hazrat Abdul Malik bin ‘Umair rah. meriwayatkan secara mursal bahawa Rasulallah (s.a.w) bersabda, “Dalam surah al-Fatihah terdapat penawar untuk segala penyakit.” (Hadis riwayat Darimi dan Baihaqi)


Rasulallah (saw) pernah bersabda melalui satu hadis lagi, bahawa “Demi Zat yang nyawaku dalam genggamanNya, satu surah yang seumpama ini tidak pernah diturunkan sama ada dalam Taurat, Injil, Zabur atau bahagian yang lain dalam al-Quran.”


Membaca surah al-Fatihah dengan penuh keyakinan akan dapat menyembuhkan segala penyakit rohani atau jasmani, penyakit zahir atau penyakit batin.


Membacanya sebanyak tujuh kali dan menghembuskannya keatas pesakit adalah juga merupakan cara pengubatan bagi sakit gigi, pening kepala dan sakit perut.

(Sila semak: Fadhilat Quran 82-85)


P/S: Segalanya Allah yang sembuhkan, yang lain hanya asbab..



Alhamdulillah...gigi pun dah kurang meragam..


Buku-buku menjawab tuduhan ke atas Jamaah Tabligh..


Judul asli : Nadzrah Ilmiyah fi Ahlit Tabligh wad Da’wah
Pengarang : Syeikh Ayman Abu Syadi
Penerbit : Maktabah Al-Majallad Al-Araby Cairo
Jumlah siri : 5 buku
Jumlah hal : seri I (128 h) seri II (128 h) seri III (270 h) seri IV (285 h) seri V (319 h)



Untuk lebih lanjut, sila semak sumber: http://takaza.comluv.com/.

Wednesday, September 30, 2009

Carilah hatimu kembali Teman..




Buatmu teman yang sedang dalam kegalauan


saat engkau dirundung kesusahan
rasa sunyi dan keputus asaan
jiwamu kosong tanpa haluan
carilah kembali hatimu dengan mengingat Tuhan



.............................................




Abdullah bin Abbas meriwayatkan kisah perjalanan beliau bersama-sama Nabi Muhammad SAW dalam suatu perjalanan. Ketika itu beliau seorang remaja yang belum baligh.


Suatu hari aku berada di belakang Rasulullah SAW. Lantas baginda bermaksud "Wahai anak kecil, sesungguhnya aku hendak mengajar beberapa pelajaran kepadamu.Peliharalah Allah SWT dan DIA pasti akan memeliharamu. Peliharalah Allah SWT dan kamu pasti akan mendapatkan-Nya dihadapanmu. Jika kamu meminta, maka mintalah kepada Allah SWT .Jika kamu memohon pertolongan, mohon daripada Allah SWT. Ketahuilah, apabila umat ini berhimpun untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, mereka pasti tidak boleh memberi kebaikan kepadamu kecuali dengan izin Allah SWT.Apabila mereka berhimpun untuk memberi kemudaratan kepadamu, nescaya mereka tidak boleh melakukannya kecuali dengan izin Allah SWT. Pena-pena diangkat dan lembaran-lembaran kering (semuanya ditentukan oleh Allah SWT)".

-H.R.Tirmizi




Kekasih~


akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu

akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

akan kutenun awan gemawan
menjadi selendang
menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung
menjadi baju
pakaian malammu

akan kupetik bintang timur
menjadi kerongsang
menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana
menjadi lampu
menyuluhi rindu

akan kurebahkan matari
menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

kekasih, hitunglah mimpi
yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi



-Usman Awang


...................

Al-fatihah untuk almarhum..

Kisah pungguk rindukan bulan


pungguk menatap bulan
hatinya girang
biar bulan jauh diawan
biar tak dapat dipegang..


pungguk menatap bulan
merisik khabar dalam diam
bulan menghilang dan menghilang
terbenam dalam awan
pungguk pun kerinduan..


alam memerhati mohon pengertian
malam keanehan membuah pertanyaan
pungguk, ada apa pada bulan?
bulan itu penuh lubang-lubang
bulan itu cahayanya pinjaman
bulan itu hanya khayalan
bulan itu....


dan..


lama pungguk kebisuan
sambil menatap bulan
pungguk tersenyum rawan
bicara pungguk tanpa keluhan
pungguk tak minta dikasihan
pungguk tak minta balasan
cinta pungguk tak perlu alasan
rindu pungguk bukan penantian
sayang pungguk penuh keikhlasan
pungguk dan bulan
masing-masing makhluk Tuhan


alam keharuan..
kisah pungguk menitiskan hujan
cinta pungguk dijadikan teladan


Malam bertegas dengan bantahan
bulan dikejauhan perlu dilupakan
bukankah Tuhan ciptakan semuanya berpasangan
bangkit pungguk, jangan terus berkhayalan
jangan terus bertepuk sebelah tangan


pungguk disentap dilema kerasukan
dilema pungguk membuah sebuah pertanyaan
perlukah bulan dilupakan?


Wahai bulan,
tolong berikanku jawapan..

.................................................................................................


Ketika saya melihat bulan dijendela, saya terus teringat pada kisah pungguk dan bulan yang diabadikan dalam sebuah peribahasa. Suatu ketika sahulu, saya pernah menggunakan peribahasa ini tanpa memahami maksud tersirat disebaliknya.Alhamdulillah, hari ini Tuhan mengizinkan terciptanya sebuah ilham mengungkap kefahaman saya sebagai makhluk Tuhan yang biasa.Terima kasih Allah. Terima kasih juga pada pungguk dan bulan yang pernah membuah sebuah kenangan dalam diari usang sang alam.





Hanya menulis, kamu yang menafsirnya:

Khadijah Abd Latip
1:50 a.m. 30.Sept.2009
Kolej Pendeta Za'ba.UKM,Bangi.

Sunday, September 27, 2009

Tersenyum dalam sepi..


Hanya angin berdesir menemani
Alam memerhati
Burung berkicau membentuk irama tari
Pepohon turut menari
Bebunga tersenyum riang hati
Terjunan air dari puncakpun berbunyi
Terik mentari bersembunyi
Tak mahu mengeksploitasi
Indahnya warna warni alami
Indahnya sebuah sepi
Segala puji bagiMu Ilahi
Yang telah membuatku tersenyum dalam sepi...




Tulip Putih
25.september.2009, 05:00 p.m.
Taman Seri Andalas, Klang. Selangor.

Selamat Hari Lahir Cik Ann~





Selamat Hari Lahir yang ke 39 cik Antilia (26.September.1970).Semoga dipanjangkan umurnya dan dimurahkan rezeki dalam kebahagiaan dunia akhirat.

p/s:terima kasih untuk makanan yg lazat malam td..kirim salam kat cik dam n azim ya..