Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, May 20, 2010

Pelita dalam memori cinta perbukitan ilmu~


Suatu ketika dahulu, ada seorang anak gadis yang lurus, selekeh dan bodoh. Keputusan peperiksaan sekolah agamanya juga corot. Tidak mendapat tempat paling akhir di dalam kelasnya sudah dikira bernasib baik. Paling melucukan, dia tidak mengetahui apa itu hadas besar dan hadas kecil. Di dalam kertas peperiksaannya dia menulis bahawa hadas besar itu adalah buang air besar manakala hadas kecil pula membuang air kecil.


Hujan yang lebat, di suatu petang yang enak, tiada guru mengajar, dia bermain lari-lari ditakungan air dihadapan kelasnya. Adakalanya, ketika ustazah mengajar di hadapan kelas, dia dan rakan-rakannya bermain anak patung di bawah meja. Dia sebenarnya bukanlah gadis yang bodoh, dia cuma menginginkan perhatian dari guru-gurunya. Seorang guru yang dapat menarik perhatiannya adalah seorang guru yang hebat, kerana dia tidak akan terangsang dengan pemandangan yang sepi dan biasa-biasa.

Oleh kerana bimbangkan prestasi anak gadisnya ini, ibunya memindahkannya di sebuah sekolah rendah agama swasta. Biar terpaksa berbayar lebih, asalkan anaknya ini kenal dengan ilmu tauhid, feqah, sirah, tajwid dan lain-lain seumpamanya. Di sekolah barunya, tiada lagi kawan-kawan sepermainan untuk bermain takungan air hujan mahupun anak patung. Di sinilah bermulanya episod baru dalam hidupnya. Dia ketemu dengan seorang guru yang biasa-biasa tetapi luar biasa.

Dengan berbekalkan ilmu dan senyuman manisnya, dia mengenalkan gadis itu dengan tauhid, sirah dan feqah. Apa yang lebih penting, dia mengajar anak gadis itu dengan hati. Dia sabar melayan kerenah si gadis yang kuat memotong jalan ceritanya dengan pertanyaan. Dia juga tabah menyambut kelewatan si gadis dengan senyuman. Dia juga sangat pandai mengambil hati si gadis yang kuat rajuknya. Apa yang lebih penting, si gadis itu sudah tahu bahawa hadas kecil itu bukanlah buang air kecil, dan hadas besar itu bukanlah buang air besar. Malah, si gadis sudah hafal akan sirah nabawiah. Si gadis juga hafal akan cerita-ceritanya.

Suatu hari, guru itu bercerita tentang seekor burung kakak tua peliharaan seorang pemuda. Alkisahnya, si burung kakak tua ini sangat pintar mengucap kalimah syahadah setelah dilatih oleh tuannya. Pada setiap kali si burung mengalami kejutan, dia pasti akan mengucap kalimah syahadah 'asyhadu anla ila haillallah, wa asyhadu anna muhammadur rasulullah'. Namun, langit tak selalu cerah, seekor kucing yang telah lama mengidam si burung akhirnya mendapat peluang keemasan lalu berjaya membunuhnya. Tuannya sangat sedih sehingga menitiskan air mata, dan dia ditanya oleh sahabatnya, kenapa bersedih sedangkan ia hanya seekor burung?. Namun, jawab pemuda tersebut, dia bersedih bukanlah kerana burung itu mati, tetapi dia bersedih kerana takut jika dia juga tidak sempat mengucap kalimah syahadah sama seperti burung tersebut.

Si gadis yang mula menyedari mulutnya ternganga mula menutup mulutnya. Sungguh terkesan di hati. Guru itu telah mengajar dia erti tauhid sebenar dan mengajar dia ilmu tasauf.

Hari demi hari silih berganti, si gadis yang dahulunya mendapat tempat tercorot di sekolah lamanya, akhirnya berjaya menjadi juara dalam kelasnya. Malah, dia juga berjaya mendapat keputusan jayid jiddan di dalam peperiksaan besar. Kejayaan yang lebih besar adalah, si gadis itu telah berjaya menjadi seorang gadis.

Seorang gadis dewasa yang hari ini telah menulis kisah ini dengan penuh jujur dari hatinya untuk seorang insan yang bernama ustaz. 11 tahun telah berlalu, dengan penuh harapan, si gadis berharap gurunya yang luar biasa ini akan membaca catatannya ini.

Maafkan saya ustaz, kerana tidak berkesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada ustaz. Di akhir perpisahan, saya hanya punya kertas tisu yang ditulis dengan nama dan tanda tangan ustaz sahaja. Itupun telah lunyai dan hilang. Dan berita tentang ustaz terus hilang sehingga hari ini. Namun, jasa ustaz dan wajah ustaz sangat jelas dalam memori saya. Ustaz Khair, selamat hari guru dan terima kasih untuk segalanya. Semoga Allah merahmati ustaz dan keluarga. Semoga satu hari nanti Allah mempertemukan saya dengan ustaz.

Terima kasih juga kepada ustazah Ainan dan Dr. hanapiah @ atuk.


anak muridmu yang ikhlas,

Khadijah Abd Latip
First Batch ex-Sek.Ren.Agama.Al-Ainani
Taman Seri Andalas.(1998/1999)


0 comments: