Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, October 17, 2009

Melayu Islam terpisahkah?



Dilema Melayu Islam..
Satu prejudis atau kenyataan?
Satu realiti atau ilusi?
Mari kita bicarakannya lewat puisi
Berwacana di persada kata nan indah
Mengungkai masalah di sulaman madah
Agar bahangnya tidak begitu menyerlah
Agar dapat segalanya direnungi
tanpa emosi berapi-api!

Pertama mari kita fikirkan..
Agama kita sama, syahadah kita serupa
Tapi mengapa mesti berpecah?
kedua mari kita renungkan..
Bangsa kita sama, darah kita serupa
Tapi mengapa mesti bertelagah?
Darah dan syahadah boleh terpisah?

Justeru sepatutnya dengan keduanya
Lebih mudah menyatukan kita
Kerana agama dan bangsa kita sama
Akidah kita Islam, kabilah kita melayu..
Tapi kenapa sukar benar bersatu?

Dalam realitinya sungguh berbeza
Agama didakwa punca sengketa
Cintakan Islam telah dipolitikkan
Kononnya demi kepentingan kuasa dan kedudukan..
Islam disinonimkan dengan parti
wajarkah begitu?

Cintakan bangsa turut dipersalah
Kasihkan watan dituduh asabiah
Melayu dan Islam bagai bertentangan
Kedua-duanya saling berkonflik
Islam menggugat semangat patriotik
Benarkah begitu?

Cintakan Agama atau bangsa
Seolah-olah satu dilema
Satu ketimur satu kebarat
Tak munkin tersatu dalam muafakat
Benarkah itu satu muslihat?
Lain tersirat lain tersurat?

Cubalah kita ungkai segala yang kusut
Berbicara secara tulus dan telus
Merujuk ke dasar, menyelam ke akar
Putuskan rantai kepartian
yang membelenggu mata dan fikiran
putuskan sentimen ketaasuban
Yang mengaburi fakta dan kenyataan
Marilah sama-sama mencerminkan visi bangsa
Dari jurus misi agama!

Islam agama menyatukan
Justeru itulah perintah Al-Jamik (yang Maha Menyatukan)
Maka bertautlah hati, terbentuklah persaudaraan
Iman dan persaudaraan - lazim berlaziman
Yang paling kuat tauhidnya kepada yang Maha Esa
Dialah yang paling mesra dalam bersaudara
Bila kukuh 'Habluminallah' yang vertikal
Akan teguhlah 'Habluminannas' yang horizontal
Itulah silaturrahim - hubungan intim atas nama Ar-Rahim

Bila beriman ertinya yakin
Bila yakin ertinya terikat
Terikat dengan syariat - peraturan dan hukum Tuhan
yang wajib ditegakkan
Yang haram ditinggalkan
Yang sunat jika mampu dilaksanakan
Yang makruh jika mampu ditinggalkan
Yang harus - terpulang
Bebas untuk buat pilihan
Inilah 5 hukum dari Allah
Yang bila semua meyakini dan mengamalkan
Secara automatik terbentuklah perpaduan
Inilah maksud firman Tuhan:
"Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (peraturan Tuhan) dan Janganlah kamu berpecah belah"

Melayu juga faktor penyatu
Kerana ikatan darah itu adalah fitrah
Cintakan bangsa adalah naluri hati
yang tumbuh secara tabii
jika bangsa terjajah, jiwa terseksa..
Bangunlah semangat merdeka dengan darah dan air mata
Jika bangsa mundur, hati terdera..
Bangunlah daya juang dengan minda dan usaha
Ketuanan melayu di bidang politik dan ekonomi
Adalah nyawa, citra dan identiti
Bangsa yang lemah, akan kalah
Bangsa yang mundur, akan terkubur
Bangsa yang kuat, akan berdaulat

Yang miskin dibela oleh agenda ekonomi dengan DEB
yang jahil diberi pelajaran dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan
Kedua-duanya dilaksanakan dengan kuasa politik!
..selagi melayu menguasai pemerintahan
..selagi 'Hal istimewa melayu' maktub dalam perlembagaan
..selagi itu kedua-duanya dikekalkan
Tapi selama mana Melayu dapat menguasai pemerintahan?
Selama mana perlembagaan dapat mempertahankan?
Dalam era globalisasi dunia tanpa sempadan..
Jika jiwa Melayu sendiri melayu, kering dan berguguran?

Islam dan melayu boleh diserasikan
Yang satu FITRAH, yang satu HIDAYAH
Cinta bangsa dan agama mampu dipertautkan
Bila membela Melayu yang miskin..
Itu tanggungjawab bangsa dan itu juga tuntutan agama
Membantu Melayu yang bermasalah..
Itu adalah fitrah kabilah dan itu juga jihad fisabilillah
Lalu..satukanlah fitrah dengan hidayah!

Agama dan bangsa bukan milik organisasi
Justeru bukan semua Muslim dan melayu dalam satu parti
Ada yang global, ada yang tribal, dan ada yang individual
"Hubbul Watan minal Iman"
Musuh bangsa dan agama cuma satu - dia yang dikuasai nafsu
Lalu awasilah si amba nafsu yang punya kepentingan diri..
dalam barisan perjuangan bangsa
dan saf perjuangan agama!




Pahrol Mohamad Juoi,
Dilema Melayu-Islam, kurang Fikir atau kurang Zikir?

Mungkin Cara Faham kita berbeza


Teman..

Mungkin cara faham kita berbeza
pendapat pun tak sama
ilmumu penuh di dada
ilmuku sejengkal cuma
berlainan fikrah usah bertelagah
mari sama-sama kita bincangkannya
jangan tahu menuding jari sahaja
mari sama-sama meninjau iman kita
masih sejengkal atau hampir sempurna?
mari sama-sama meninjau amal kita
sejauh mana kita praktikkannya?
kita tak sama, tapi serupa
kita bersyahadah, akidah yang sama
kita berdakwah, cara berbeza
jika tak suka, tak mengapa
tapi jangan merasa bangga, yang kita betul semuanya
harus ada rasa taqwa, itu baru beriman namanya
tawadhuk harus ada, begitu cara Nabi mengajar kita
Biar fikrah berbeza, tapi tak gaduh sesama kita.
Semoga kita sama-sama beroleh syurgaNya.


Saturday.Oct,17 2009.
KPZ,UKM,Bangi.