Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Saturday, December 22, 2012


USIAMU menghampiri sunti dara
Mengibarkan rasa di selendang sutera
Menyembunyikan malu di bilik terkunci
Diselubungi rindu lagu dan tari
Seribu bayang seribu mimpi
yang manis indah kerana itulah mimpi.

Mimpi itu adalah keajaiban anugerah
Tapi dialah nanti menyebabkan kau gundah
Terasing di cermin kenyataan
Kehidupan yang ganas dan kejam.

Sunti daraku,
Jangan kaupinjam lamunanku, hati seorang ayah
Yang kini kubenci sebab begitu lemah
Selamanya mimpiku hidup ini serba indah.

Bunuhlah mimpi itu, anakku
Kau membunuh segala palsu
Lagu dan rindu
Yang selalu menipumu

Dapatkan keberanian hidup baru
Dari kekuatan hati dan ketinggian ilmu.

-Usman Awang (1984)-

........................

Selamat Ulang Tahun yang ke 25 buat,
Khadijah Abdul Latip
22.Disember.1987

Tuesday, December 4, 2012

Doa Ayah

Cengkerik lewat pagi ini begitu bising mendendangkan lagunya. Sama seperti dahulu, lewat pagi, mata tak mampu lelap, walau siang tadi dihujani dengan kuliah pensyarah. Cuma, bezanya pagi ini manusia yang sangat ku rindui tak dapat dihubungi melalui telefon. Cuma, kenangannya yang bisa ku gamit
.
"Ayah teringin nak Ija sekolah di situ" Aku memandang sekolah yang disebut oleh ayah. Sekolah di tepi jalan itu ku pandang dengan pandangan sepi. Tak pernah terlintas di fikiranku untuk bersekolah di situ. Tetapi, setahun selepas itu, aku mendaftarkan diri sebagai warga sekolah Menengah Kebangsaan Agama yang terletak di tepi jalan menghala ke Sabak Bernam. Bulan berganti bulan, aku dan ayah melalui jalan yang disimpangnya terletak sekolah berasrama penuh pula. Dan ayah mula berkata "Ayah teringin nak Ija sekolah di situ". Dan doa ayah dimakbulkan bila kolej Islam di tepi jalan itu, sudi menerimaku menjadi warganya. Dari tingkatan enam ke Universiti, terdetik di hatiku, mudahnya perjalananku adalah kerana doa dari seorang ayah.
Semester ke lima di Universiti, kali terakhir ayah menghantarku ke kolej, ayah menghantarku dengan pandangan yang berat, tanganku seperti tidak mahu dilepaskannya. "Ayah nak ija sambung master" Aku terkedu dan kemudian ketawa "tengoklah dulu".

Hari ini, hampir empat tahun ayah pergi, dan kenangan itu seperti baru semalam berlaku. Tawaran master terpaksa ku tolak kerna alasan kerja. Maafkan aku ayah!. Saat ini, aku terasa kehilangan sebuah doa. Doa dari seorang ayah, begitu berharga sekali. Rindunya... pada ayah. Dan aku tersenyum mengingati doanya yang terakhir padaku "ayah doakan Ija dapat suami yang soleh dan pandai memujuk"

Terima Kasih Ayah!. 

Monday, December 3, 2012

Ketika cinta hadir melalui mata
ia membutakan
tetapi, ketika cinta hadir dari hati
ia menerangkan


~khadijah abd latip @ tulip putih~

Sunday, October 14, 2012

Cinta bak teratai~


Ketika mendung engkau tersenyum
Ketika panas engkau bersinar
ketika sejuk engkau memujuk

Engkau setia tanpa pembuktian
Engkau indah tanpa penghargaan
Engkau cantik tanpa pameran
Engkau wangi tanpa ciuman

Ketika sayap kasih mengepak
gubahan kidung menjadi mahkota
Engkau menggoda dengan cinta



~khadijah Abd latip @ tulip putih~

teratai I


Ketika teratai berbunga~




dalam rawa terbelit lumpur
engkau sendiri tanpa luntur
hanya berteman mentari pagi
embun pagi menghilang di tengah hari

bukan mawar sebagai bandingan
engkau istimewa tanpa gandingan
tanpa disiram engkau subur
engkau tersenyum tiada takbur

ketika teratai berbunga indah
Dapatkah engkau bayangkan
bagaimanakah kolam tanpanya
tiada seri tanpa wajah
lebur cahaya tanpa cinta


~khadijah Abd latip @ tulip putih~

teratai II



Saturday, October 13, 2012

Jendela itu..


Saban hari,
jendela itu menitip sejarah
renungan mata si tua
bergenang rindu
berkedut bibirnya digigit sembilu

Jendela itu,
dahulu menyimpan sejarah
pada cerminnya,
renungan seorang wanita
bulat bercahaya
 melihat askar-askar kecil bercanda mesra
sambil bibir tersenyum berdoa
'semuga cepat dewasa'

Jendela itu,
makin usang,
seusia wanita itu,
dan askar-askar kecil pun menjadi dewasa,
lalu hilang,
menjadi bayangan
pada skrin sebuah ingatan
seorang wanita tua 
menyorot sebuah kepulangan
pada,

jendela itu.

Khadijah A.L 
13.oct.2012
Bandar Diraja

cinta itu..





"Tahukah kamu, apa cinta itu?

Semuanya tentang mengasihani, suka memberi (kebaikan).
Kecelaruan tersingkap tika kamu keliru
antara (pemuasan) nafsu dan (ketulusan) cinta,
sedang jarak antara keduanya tak berjeda."

[Maulana Jalaluddin Ar-Rumi]


Sunyi


Saat keriuhan
sunyi itu suatu yang didambakan

Namun,
Saat sendiri
sunyi itu memeritkan

Tapi,
Sunyi jadi indah
bila di hati, DIA dipatrikan
 

~tulip putih~

Sunday, June 24, 2012

makam cinta~


CINTA
ketika yang dicintai tak dapat membalasnya
biarlah ia menjadi puing-puing halus
dikuburi dan ditandai
jangan mendekati

~tulip putih~






Monday, June 18, 2012

Tentang hati

 
Apabila hati merasa resah dan gelisah tanyalah hati, dosa apakah yang telah ku lakukan sehingga Tuhan tidak redha padaku. Bukankah Allah pernah menyebut di dalam Al-Quran bahawa hati itu adalah jiwa yang berfikir. Dan hati orang-orang beriman itu sangat halus derianya. Ya Allah, jauhi aku dari sifat nifak dan segala sesuatu yang boleh menjauhkan aku dariMu. Amiin

 
hari ini di cinta masjid, ustaz don berkisah tentang seorang kekasih Allah. Baginda telah menjadi imam kepada ribuan nabi dan ratusan rasul ketika peristiwa isra' mi'raj, tetapi apabila Allah memanggil dan bertanya kepada baginda, ya Muhammad, man anta? jawab nabi Muhammad sallallahu alaihi wassallam. Ana yatim, wa ana miskin. Subhanallah, terasa ingin mengalir air mataku. Mulianya akhlakmu ya Rasullullah, langsung tak teriak ujub dan takburmu. Semoga saja aku dan muslimin lain dapat mencontohi akhlakmu. Allahumma salli ala saiyidina Muhammad wa ala ali saiyidina Muhammad.


 CINTA

umpama awan diterik mentari
hangat tetapi mendamaikan
umpama hujan di musim kemarau
basah dalam harapan
umpama salju di musim dingin
sejuk tetapi tak membeku

............................

Ayah,
terima kasih kerna mengajarku erti cinta
 Selamat hari ayah, ayah
Semoga kamu selalu bahagia bersama para kekasihNya di sana

Amiin..




Wednesday, May 2, 2012

Dalam Doa


Dalam doa,
aku menyelam
berenang sehingga ke dasar
bersama angan-angan
penuh pengharapan
ku selit bait syarat
yang ku sangka 
kan jadi mutiara

aku kelemasan
kepedihan dalam asin permintaan
yang ada cumalah karang
tajam melukakan

Akhirnya aku kembali
pada Ilahi
dan mutiara pun menyinari

semoga mutiara itu akan jadi milikku nanti

~tulip putih~


.................................

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah. Al Baqarah:216)

 
 ya Allah,

aku memohon padaMu,
jatuh cintakan aku pada orang yang mencintaiMu
yang apabila aku mencintainya,
bertambah cintaku padaMu
dan
jodohkan aku dengannya
 yang mencintaiMu
dan 
mencintaiku keranaMu

Lillahi taala..

...Ameen...




 

Thursday, April 26, 2012


Wednesday, April 25, 2012

Kabus



Jalan itu berkabus
kelam
tak terungkap di dalam
bila kabus hilang
jalan itu tak mungkin terang
kerna senja kan membawa malam

~Tulip Putih~


Tuesday, April 24, 2012

Sahabatku~



Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih
dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa
dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.

~Khalil Gibran~

Tuesday, April 3, 2012

Mata Ayah~


Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

~Usman Awang
Sewaktu aku kecil-kecil, aku selalu mencium dahi dan kedua pipi ayah
Dan, sewaktu aku remaja, aku masih mencium dahi dan kedua pipinya
Teman-temanku bertanya "kamu cium pipi ayahmu?"
Aku mengerutkan dahiku, pertanyaan yang aneh, dia mahramku.
Dan sewaktu aku telah dewasa aku masih mencium dahi dan pipinya.
Mata-mata aneh memandang, aku tak peduli.
Dan sewaktu dia tidur buat selama-lamanya
Aku menciumnya buat terakhir kali.
Kenapa tiada mata aneh dan soalan aneh?
Apakah kerana dia telah kaku dan pergi buat selamanya?
Apakah dia hanya layak untuk diciumi sewaktu akhir hayatnya?

......................

aku berharap ayah tersenyum dalam mimpiku
aku rindu ayah

Thursday, March 15, 2012




Ya Rabbi…

Bila kerabat dan teman tak lagi cukup untuk menemani hari-hariku. ..
Aku memohon hanya padaMu..



Monday, February 6, 2012

Kanvas Biru~



Kanvas itu biru
awan berarak di gigi langit
ternoda keputihan
terukir senyuman

Namun, kanvas itu tak selalu biru
ketika mendung
ternoda kehitaman
basah kehujanan

Kanvas itu,
langit Ilahi
umpama kanvas di hatiku.

~khadijah A.L @ tulip putih~

..................

Tuhanku,
pandanglah daku..


Seandainya engkau di sisiku kekasih Allah..


Kalau Kekasih (Nabi) di kalangan kita لو كان بيننا الحبيب
Akan datang kepada kita yang jauh dan yang dekat  لدينا القاصى والقريب
Dari Taibah sebelum Magrib من طيبة قبل المغيب
Berkehendakkan dekat dengan Kekasih طالبا قرب الحبيب
Dengan dekat dengannya hati menjadi tenang بقربه نفس تطيب
Dan berdoalah kepada Allah, akan dijawabNya فتدع الله يجيب
Cahayanya mekar takkan padam انوار طاح لا تغيب
Sampaikanlah pertemuan kami wahai yang Maha Menjawab  بلغنا لقاه يا مجيب
Untukmu kuserahkan diri aku wahai Kekasih فدتك روحي يا حبيب
Muhammad yang memuliakan orang asing محمد مكرم الغريب
Dengan dekat denganmu hati menjadi tenang بقربك الروح تطيب
Wahai rahmat sekelian alam يا رحمة للعالمين

اللهم صلى على سيدنا محمد و على  ال سىدنا محمد
........................
ya Rasulullah,

daku sedih,
daku marah,
daku kecewa,
dan sakit hati

seandainya bisa kutemui mu,
daku pingin sekali engkau mendoakan buatku
jadikan daku punya akhlak sepertimu
kelembutanmu,
kekuatanmu,
dan 
keikhlasanmu.

ya Rasulullah,

semoga nanti daku dapat ketemu mu di syurga..



Amiin..

Sunday, February 5, 2012


Manusia itu sifatnya tidak sempurna
kerna itu, jiwanya selalu berbolak balik
maafkan saja sifatnya yang lemah itu
dan semoga jiwa yang bertatih itu,
masih berdiri diatas jalan TuhanNya
walau tak selancar dulu, namun lebih tulus.

mungkin, jiwa itu perlu menoleh seketika ke belakang
hanya seketika, dan terus maju ke hadapan.
harapan kini, hanya untuk masa hadapan
bukan pada kenangan yang membeku.

Biar, jalan berliku kan ditempuhi
asalkan, Tuhan masih mahu memandangku.
Luka-luka di jalanan yang berliku, pasti kan sembuh jua suatu hari nanti
Dan jiwa pun berharap bibir kan mengukir senyum anggun
atas sebuah kesabaran.

..........................

Selamat tinggal kesakitan, semoga esok ada hari baru untukmu


Tuhanku,

pintaku hanya satu,
aku hanya mahu bahagia di dunia dan akhirat.


Saturday, January 28, 2012

Surat untuk Ayah




Teringat kata-kata arwah ayah, "syurga itu jalannya susah dan payah, dan neraka itu jalannya sangat mudah"
Ayah,
sukarnya untuk mujahadah dan istiqamah untuk dapatkan syurga. Jalannya berliku, pedih dan sakit. Ada masa, terasa hidup ini lancar sahaja, tapi, sampai saat masa Allah menguji, Dia lebih mengetahui hati ini.
Ayah,
ada masanya terasa hidup ini terlalu sunyi, adakalanya terasa kosong dan sakit sekali.Masih kuingat tangan ayah terakhir kali memegang tanganku kejap, dan ketawa ayah malam terakhir kali.
Ayah,
maafkan aku kerna tak mampu menjadi anakmu yang sempurna, terlalu banyak onarku yang mendukacitakanmu...
Ayah,
walaupun jalan ke syurga itu penuh liku, aku ingin memasang mimpi untuk menjejakkan kaki dan seluruh jasadku ke sana..walaupun hari ini aku jatuh, esok aku mahu bangun lagi..
Ayah,
tolong doakan aku ya..semoga nanti, kita ketemu di sana di dalam syurga firdausi, doain aku menjadi orang yang sabar dan berakhlak mulia..

oh ya, sebelum lupa, aku ingin ucapkan selamat hari lahir yang ke enam puluh buat ayah, terima kasih kerna telah menjadi ayahku selama 23 tahun yang lalu. Dan terima kasih Allah kerna telah menjadikan ayah, ayahku. Semoga roh ayah di sana tenang dan bersama para kekasihMu. Amin..


Yang benar,
Tulip putih



Monday, January 16, 2012

~Misteri yang terpelihara~


Hari berganti hari
Waktu berganti waktu
Hari dan waktu mengejar usia
mentari dan bulan berbalas sapa
hati yang resah dibalut tawakal dan pasrah
sekendi sabar dicurahkan keatas kalbun
biar penuh tak terisi sunyi
penuh dengan rasa percaya
menunggu langit ketujuh bersuara
biar misteri, tetapi pasti
biar misteri tetap terpelihara
sehingga hujung waktu 
terangkat tabir qada
qadar pun menyatu

~tulip putih~

 

Sunday, January 1, 2012

Tahun Baru 2012

Tahun 2011 berlalu sudah, yang tinggal hanyalah bekas jejaknya yang tertinggal rapi di dalam hati. 2012 pula hadir dalam usia yang menginjak dewasa. Bersama tahun baru yang hadir, azam baru, tak mahu tertinggal sama. Semoga tahun baru ini lebih baik dari tahun sebelumnya. Banyak impian yang terpaksa ditinggalkan, semoga satu hari nanti, impian ini kan jadi kenyataan. Azam baru hadir bersama hadirnya pelajar-pelajar baru, kelas yang baru di cat dengan contengan berwarna-warni menambah semangat guru, semoga nanti murid-muridnya juga begitu, menjadi pelajar-pelajar yang bersemangat menambah ilmu ukhrawi, dan semoga menjadi khalifah di muka bumi ilahi. Amin..

.............................................................

ya Allah, berikanlah daku kesabaran dn ketenangan dalam menghadapi hidup di dunia ini

~Amiin~