Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, August 30, 2009

Aku lah pendosa yang terhina..



Akulah pendosa yang terhina
muliaku pada pandangan manusia
belum tentu selamat di sisiNYA



Akulah pendosa yang terhina
sembunyi syaitanku dari mereka
yang terpancar hanyalah malaikat mulia



Akulah pendosa yang terhina
lebih maksum dari Nabi mulia
ku lihat manusia lainnya hina
wajah mereka penuh dosa
aku pun merasa bangga
Ha ha ha



Akulah pendosa yang terhina
tak layak untukku menerima
barang secebis ampunanNYA
apa lagi mahu bermimpi syurga
sedang aku tak mahu neraka


Akulah pendosa yang terhina
tak mahu aku malu meminta
pada NYA
pada suatu taubat karunianya
aku meminta untuk selamanya


Allah, ampunkan dosaku


...............................


Allah, luruskan lah jalan ku
Allah, luruskanlah agamaku
Allah, luruskanlah hatiku


Aku memohon karuniaMU pada hati yang tidak sombong
aku memohon karuniaMU pada hati yang tidak angkuh
aku memohon karuniaMU pada hati yang tidak riak
aku memohon karuniaMU pada hati yang tidak syak wasangka


Kurniakan aku hati, seperti hati orang-orang yang bertaqwa
kurniakan aku hati suci, sesuci cinta MU Allah
biarpun lemahnya iman dan amal ku
namun aku tidak mahu berhenti berharap
pada sebuah perjuangan
pada sebuah kelelahan
kerana aku mengharap
pada sebuah peribadi
seperti akhlak Nabi.





09.Ramadhan.1430 hijrah,30.ogos.2009.
BlokB2,Kolej Pendeta Za'ba,UKM,Bangi.


Saturday, August 22, 2009

Ahlan ya Ramadhan~ Aku menyambut mu dengan penuh bimbang..






Hadirnya Ramadhan
aku kegirangan
ada juga rasa bimbang
takut tak berkesempatan
bersama mu hingga hujung bulan
debar di hati usah diceritakan
takut tak kesampaian
mengaut keuntungan
bukan untung jualan
di pasar ramadhan
tetapi kelebihan yang tuhan berikan
rahmat di awal, maghfirah di pertengahan
bebaskan ku dari api nerakaMu Tuhan,
saat Ramadhan di penghabisan.




Ramadhan oh Ramadhan,
Mungkinkah wujud sebuah pertemuan
dengan malam al-qadar
aku jadi nanar sendirian
malam-malamku belum tentu terisi dengan qiamullail

Ramadhan oh Ramadhan,

aku lebih bimbang

jika syawal hampir menjelang

dirimu pasti menghilang

aku jadi kesibukan

dirimu pasti tidak ku hiraukan

kerana syawal sudahpun di fikiran


Ramadhan oh Ramadhan,
Sebenarnya
aku menyambut mu dengan penuh bimbang
bimbang dirimu tidak ku pedulikan
kebimbangan yang membimbangkan
apalagi dirimu
belum tentu akan ku temui tahun hadapan.





Khadijah Abd Latip
01.Ramadhan.1430 hijriah.
Blok B2,Kolej Pendeta Za'ba.UKM, Bangi


Assalammualaikum w.b.t.
Saya dengan rendah hatinya ingin mengucapkan selamat memeriahkan bulan Ramadhan kepada ayahanda dan bonda tercinta (walaupun mereka tak baca blog ini ), kepada ahli keluarga yang terkasih, kepada guru-guruku yang pernah menyumbang jasa pada makhluk dhaif ini, kepada sahabat-sahabat yang amat tersayang, kepada yang mengenali diri ini walaupun saya tak pernah senyum kepada mereka dan kepada yang tidak pernah mengenali diri ini dan tidak lupa kepada blogger-blogger yang beragama Islam sama ada aktif ataupun tidak dan juga tidak lupa kepada pembaca budiman yang sudi singgah di blog saya. Segala salah silap saya harap dimaafi. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi medan tarbiyah kita seterusnya mewarisi jannahNya.

p/s:Ucapan perantauan:

Ucapan khusus ditujukan buat Abang sulungku yang masih berada di German, Sallehuddin Abdul Aziz bn Abd Latip. Semoga Ramadhan yang datang ni membawa rahmat dan memberi seribu pengertian kepadamu, dan semoga tabah dan sabar dalam menjalani ibadah puasa, secara tulus hati dan penuh ikhlasnya adikmu ini memohon maaf jika pernah melukakan hatimu dan dengan penuh cintanya terimalah salam sayang dan rindu dariku dan ahli keluargamu yang jauh.



i miss u bro, bila nak balek malaysia ni? nak pow duit raya byk2..hehe.


Wednesday, August 19, 2009

" Ughh..cemburunya saya.."



Mungkin nenek, dan 2 orang lagi ibu saudaraku ada di dalam pesawat ni, selamat jalan semua..i love u.


"Jah, engkau tak nangis ke?" salah seorang ibu saudara mengusik saya.

" nangis dalam hati je" saya tersengih memandangnya.


Sebenarnya hati ini turut merasa sebak melihat pemergian mereka. Lewat asar tadi ummi menghantar mesej pemberitahuan bahawa nenek dan 2 orang lagi ibu saudara saya akan bertolak mengerjakan umrah pada hari ini.


Sekitar jam 6 ptg, pakcik yang tinggal di Bangi mengambil saya. Bersama isterinya, kami sampai di KLIA sekitar jam 7. Saudara mara yang lain sudah sedia ada di sebuah restoran bersama orang yang diraikan, satu persatu tangan mereka saya salami. terlerai juga rindu akhirnya. Hari sabtu yang lalu, saya tidak dapat hadir kenduri keluarga, jadi peluang untuk berjumpa mereka hari ini tidak saya lepaskan walaupun terpaksa menyusahkan pakcik Adam yang saya sayangi, (pakcik Adam kalau baca ni senyum banyak yer, ") )


Dalam lingkungan jam 8.30, orang yang diraikan pergi meninggalkan kami, pergi menjadi tetamu Allah. Terbit rasa cemburu di hati kerana tidak pernah tersenarai sebagai tetamu Allah seperti mereka, apa lagi di bulan Ramadhan yang mulia. " ughhh..cemburunya....bila la agaknya masa saya ya!"


Melihat pemergian mereka hati merasa sedih, sedih kerana sepatutnya saya turut tersenarai dalam rombongan umrah tersebut. Namun saya redha kerana Allah belum pilih saya jadi tetamuNya. Pemergian mereka saya iringi dengan doa dan harapan. Doa supaya segala urusan dipermudahkan, disihatkan tubuh badan mereka dan segala ibadah mereka di sana nanti diterima oleh Allah. Dan saya iringi dengan harapan semoga hari raya tahun ini saya dapat menyambutnya bersama mereka.


Kepada mereka saya titipkan pesan sebuah doa, dengan harapan Allah kabulkan. Berkali-kali saya ingatkan kepada ibu saudara dan nenek saya supaya tidak lupa mendoakan saya. Malam kenduri keluarga yang tidak dapat saya hadiri saya hantar sebuah mesej pesanan ringkas kepada nenek untuk mendoakan saya supaya berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran, menjadi wanita solehah dan dapat mengikut jejak langkah mereka.... dan mesej yang terakhir yang menjadi bahan usikan saudara mara, semoga saya dijodohkan dengan seorang yang soleh, beriman dan bertaqwa.


Bila diusik, dengan selamba saya menjawab "Ijah dah 22 thn, tahun depan 23, apa salahnya". Dalam hati saya tertanya-tanya adakah saya kelihatan seperti anak kecil lagi yang tak layak memikirkan jodohnya?. Ibu saudara saya hanya tersenyum mendengar jawapan saya, mungkin dia baru tersedar yang saya sudah pun dewasa.


Saya cuma berharap hal ini tidak menjadi taboo di dalam masyarakat. Seorang wanita yang telah dewasa memikirkan soal jodohnya, apa lagi dia masih di IPT. Menganggap nikah adalah taboo, memikirkannya juga taboo, tetapi tidak bagi couple, tidak keterlaluan jika saya katakan inilah pandangan sebahagian umum . Sebahagian pelajar IPT dan tidak kurang masyarakat luar memandang hairan dengan pelajar yang telah bernikah semasa di IPT, tetapi tidak pula memandang hairan dengan budaya couple yang menjadi tradisi. Luahan hati ini bukanlah bermaksud untuk menembak mana-mana pihak, saya cuma berharap keadaan dapat dibetulkan.


Wajarkah bagi seorang wanita memikirkan soal jodohnya, apa lagi berdoa supaya dijodohkan dengan seorang laki-laki soleh?.

Tepuk dada tanyalah Iman, dan anda akan tahu jawapannya.

Wallahua'lam.

Tiba-tiba saya teringat mesej pesanan ringkas yang dihantar oleh kakak " Ijah, aku nak kawen" dan saya pun tersenyum sendirian..


p/s: Kala selesai menulis post ini saya tertanya-tanya apa kaitan cerita pergi umrah dengan cerita jodoh?, ada kaitan kot.. ") . Terbayang-bayang lambaian Kaabah dan Masjid Nabi kala ini, alangkah indahnya..teringat juga kat budak-budak comel yang saya cubit pipinya tadi.. :-p

Cerita saya dan saudara Yusammir cam ade kaitan la : http://www.yussamir.com/2007/01/nikah-khitbah.html

Wednesday, August 12, 2009

Dramaturgy dan nasihat Luqman Nul Hakim.


Bismillahirrahmanirrahim..

Dramaturgy, merupakan salah satu daripada intipati kuliah teori antropologi dan sosiologi lanjutan yang baru saya pelajari isnin lalu bertarikh 10.Agos.2009. Melihatkan tajuknya sahaja sudah menarik, iaitu hidup kita umpama pentas teater, individu atau diri kita merupakan aktor dan pelakon yang aktif.


Dramaturgy merupakan teori lanjutan dari simbolik interaksionisme klasik yang mana dipelopori oleh tokoh penting iaitu Erving Goffman. Di dalam teori ini menerangkan tentang konsep 'self ' iaitu self atau diri bukanlah milik individu (aktor) tetapi adalah hasil dari interaksi dramatik antara aktor dengan para hadirin (audience).


Di dalam hal ini, secara ringkasnya teori ini menerangkan bahawa kita sebagai individu melakonkan watak tentang apa yang manusia lain ingin lihat pada diri kita, juga berkata sesuatu tentang apa yang mereka ingin dengar, secara tidak langsung kita perlu berdrama dan sekaligus peranan kita semacam sama dengan pelakon dalam pertunjukan drama.


"A view of social life as a series of dramatic perfomances akin to those that take place in the theater" (Ritzer 2003:145)


Hal ini sedikit sebanyak melahirkan rasa tension kerana apa yang kita ingin lakukan dengan apa yang orang harap kita lakukan tidak sama, jadi kita perlu ikut apa yang orang lain inginkan.Di dalam hal ini pensyarah saya menukilkan satu kata-kata yang mudah dan jelas mengenai teori ini


"I am what i think, you think i am"


Di dalam bahasa melayunya apabila diterjemahkan kembali bermaksud " saya ialah apa yang saya fikirkan , apa yang kamu fikirkan tentang saya" . Agak sedikit keliru bila diterjemahkan satu persatu,tetapi secara keseluruhannya ia bermaksud, di dalam fikiran saya, saya adalah hasil daripada apa yang orang lain fikirkan tentang saya.


Teori ini turut sinonim dengan ungkapan Shakespeare, All the world's a stage (from as u like it 2/7)


All the world's a stage

And all the man and women merely players

They have their exits and their entrances

And one man in his time plays many parts

His acts being seven ages.At first the infant

Mewling and puking in the nurse's arms.

And then the whining school-boy, with his satchel

And shining morning face,creeping like snail

Unwillingly to school.And then the lover

Sighing like furnace, with a woeful ballad

Made to his mistress eyebrow. Then a soldier,

Full of strange oaths and bearded like a part......



Saya bukanlah orang yang arif perihal sastera, apa lagi untuk memahami apa yang ditulis oleh ShakesPeare ini, kerana bahasanya terlalu tinggi namun kata-kata pensyarah saya bahawa apa yang dikarang oleh ShakesPeare adalah realiti yang berlaku di dalam masyarakat sehinggalah hari ini.


Inilah realiti kehidupan sebenar, apa yang Erving Goffman lihat dan Shakespeare katakan adalah mungkin apa yang anda dan saya alami atau apa yang anda dan saya lihat. Di dunia ini, tidak ramai yang tidak pernah atau selalu juga memikirkan apa yang orang lain fikirkan perihal dirinya dan mengambil berat pandangan orang lain terhadapnya, namun ramaikah yang berfikir apa yang akan Tuhan katakan tentang dirinya dan pandangan Tuhan terhadapnya?. Di sinilah bahagian paling penting yang ramai diantara kita mengabaikannya.


Ingatkah kalian kepada Luqman Nul Hakim?. Dramaturgy dan Luqman Nul Hakim mungkin tidak sinonim, tetapi nasihatnya sangat berkait rapat dengan sifat manusia yang satu ini.


Alkisah dalam satu riwayat menceritakan bagaimana pada suatu hari Luqman Nul Hakim telah memasuki sebuah pasar dengan menaiki seekor baghal, manakala anaknya pula mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, sesetengah orang yang berdiri di pinggir jalan pun berkata, "Lihat orang tua itu yang tidak bertimbang rasa. Dia sedap-sedap duduk menaiki baghalnya sedangkan anaknya pula dibiarkan berjalan kaki."


Setelah mendengarkan kata-kata yang kurang sedap dari orang ramai maka Luqman pun turun dari baghalnya itu lalu diletakkan anaknya di atas baghal itu dan kembali berjalan. Melihat yang demikian, maka sesetengah orang di pasar itu berkata pula, "Sungguh biadap budak itu. Orang tuanya dibiarkan berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki baghal itu."


Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang baghal itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian sesetengah orang ramai pula berkata lagi, "Lihat dua orang itu menunggang seekor baghal, alangkah siksanya baghal itu membawa beban yang berganda."


Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari baghal itu dan menyambungkan perjalanannya, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Ada baghal tetapi tuannya berjalan kaki. Alangkah bodohnya!"


Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Nul Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya,


"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Biarkan Erving Goffman dengan teorinya, dan Shakespeare dengan sajaknya, ambillah apa yang dikatakan oleh Luqman Nul Hakim dalam nasihatnya.

Apabila merasa sedih dengan kata-kata manusia, bagaimana untuk merawatnya?. Saya pernah menonton satu rancangan televisyen Rawat Hatinya Bangunlah Insan, yang disiarkan oleh Astro Oasis, penceramahnya adalah saudara Aa Gym dari Indonesia. Bagaimana untuk merawat hati yang sakit bila dikeji orang atau merasa sedih kerana dikritik manusia dan seumpamanya?.


Aa Gym mengajar satu cara, iaitu dengan menyenaraikan semua keburukan dan sifat negatif kita secara jujur di dalam satu kertas, biar hanya menjadi simpanan dan tatapan kita sendiri. Dan apabila ada orang mengkritik kita sebagai contohnya mengatakan kita kikir, jadi kita jawab dengan penuh rasa syukur "oh dia hanya melihat sifatku yang kikir, sedangkan banyak lagi sifat buruk ku yang lain tetapi Allah sembunyikan dari pengetahuannya, Alhamdulillah.."


Akhir kata dari saya, La Tahzan Inna Allaha ma'ana ..


Wallahualam..


p/s:Topik ini bakal disambung pada keluaran akan datang....








Sunday, August 9, 2009

Taman RINDU dalam hati..~





Rindu
Bagaikan salju
Sejuk nan membeku
Keras nan membatu
Kaku dalam ruang waktu
Bilakah kan bertemu?


Nur menerangi
Bagai mentari pagi
Waktu tak lagi kaku
Ais mencair laju
Tak lagi beku
Rindu pun bertamu



Bumi dibasahi
Mawar, merah kembali
Dedaunan hijau lagi
Alunan zikir tiada henti
Bagai kesturi
Harumnya mewangi
Seharum kasih Ilahi
Seharum bau syurgawi
Taman rindu dalam hati
Rindu berbaur cinta ilahi.





ya Allah, berilah aku mencintaiMU, seperti mana Engkau mencintaiku

dan berilah aku merinduiMU, seperti mana Engkau merinduiku

hadirkanlah taman rindu dalam hatiku

seperti mana Engkau menciptakan taman-taman syurga bersama hadirnya
cintaMu.










Khadijah Abd Latip
Siap pada : 09.Ogos.2009, 1:23 p.m.
Kolej Pendeta Za’ba, UKM, Bangi.

Sunday, August 2, 2009

Kau Menyayangiku..~





Kau menyayangiku
Seperti bumi,
Menyayangi titah Tuhannya,
Tidak pernah letih,
Menanggung beban derita,
Tidak pernah penat,
Menghisap luka


Kau menyayangiku
Seperti matahari,
Menyayangi titah Tuhannya ,
Tidak pernah letih,
Membahagi cerahnya cahaya,
Tidak pernah letih,
Menghangatkan jiwa


Kau menyayangiku
Seperti air,
Mencintai titah Tuhannya,
Tak pernah letih,
Membersihkan lara,
Tak pernah letih,
Menyejukkan dahaga


Kau menyayangiku
Seperti bunga,
Mencintai titah Tuhannya,
Tak pernah letih,
Menebar mekar aroma bahagia,
Tak pernah letih,
Meneduhkan gelisah nyala,


(Dipetik dari Novel Ketika Cinta Bertasbih, Habiburrahman El Shirazy)



Terima kasih buat keluarga juga
sahabat-sahabat yang menyayangiku,
terima kasih juga kerana peduli
dan ambil berat diri ini
menjaga diriku ketika sakit,
menguatkan ku ketika lemah,
membahagiakan ku ketika sedih,
Tiada yang dapat ku ungkapkan
melainkan Allah sahaja yang layak membalas jasa kalian..