Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, June 27, 2010

Selamat Hari Ayah, ayah~


Kenangan itu, umpama kesan tapak kaki diatas timbunan salji. Satu persatu kesan tapak kaki itu cuba saya jejaki, tetapi dia semakin jauh dan jauh dan akhirnya menjadi bayang-bayang. Dan salji itu, lama kelamaan semakin mencair dan perlahan-lahan kesan tapak kaki itu juga menghilang. Hilang seperti hilangnya dirinya. Saya cuba menahan, kalau boleh saya ingin lindungi ia dari terikan matahari. Hanya itu yang saya punya. Sebuah kenangan yang dihadiahkan dia selama 23 tahun saya bernafas. Pada jelingan matanya, dia mengajar saya menjadi seorang manusia, dan pada senyumannya, dia mengajar saya untuk menjadi seorang hamba Allah yang bertaqwa. Pada pejaman matanya yang terakhir kali, dia mengajar saya, bahawa kematian adalah sebuah destinasi yang pasti.

Kenangan itu, saya tidak pasti sampai bila saya dapat menahannya. Saya berharap, suatu hari nanti, saya dapat memperkenalkan pusara dia pada bakal hero dan heroin saya, dan mulai berkata, "dialah wira ummi, seorang lelaki yang sangat baik dengan ummi, sangat lembut dengan perempuan-perempuannya, seorang yang pendiam, penyayang dan tabah. Dan dia, adalah seorang ayah yang sangat mudah mengalirkan air mata untuk anak-anaknya".


Selamat Hari Ayah, ayah.