Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Wednesday, March 24, 2010

Hadiah untuk ayah


Dinihari itu, dia melagukan ayat-ayat cinta Allah. Sambil berniat semoga pahala itu sampai kepada kekasih hatinya yang jauh. dan tiba-tiba dia teringat, suatu hari, sama seperti dinihari ini, dia melakukan perkara yang sama sambil berniat untuk kekasihnya. Setelah selesai mengalunkan ayat-ayatNya. Dia menutup kitab itu dan menciumnya dengan penuh syahdu, sepantas itu juga dia menerima mesej pesanan ringkas dari dia..

"terima kasih anakku kerana mendoakan ayah, ayah juga selalu mendoakanmu semoga berjaya dunia dan akhirat dan mendapat suami yang soleh". Dia terpegun dan mengucapkan tahmid kepada Ilahi.
" bagaimana ayah tahu?" dia bertanya kembali
"ayah bermimpi anakku"

Dan air matanya bergenang mengingati saat itu. Kerana dinihari ini, dan dinihari yang lain, dan dinihari yang seterusnya walau beribu-ribu ayat dibacanya untuk dihadiahkan pada beliau, dia tidak akan mendapat mesej pesanan ringkas seperti itu lagi. Apa yang penting, tiada lagi doa itu untuk dia.

Air matanya mengalir deras lagi saat mengingati kali terakhir ayat-ayat cinta itu dibaca dihujung telinga kekasihnya.
"Ayah, dengarkan bacaan anakmu ini"
"bukankah bacaanku yang paling ayah sukai dan yang paling ayah ingin dengarkan" dia membisikkan kata-kata itu ke telinga ayahnya yang telah siap dikafan.

Hatinya penuh sesal kerana masa dewasanya, dia telah mengurangi waktunya untuk bertalaqqi dengan guru mengajinya itu.
Satu persatu manik-manik halus berjurai menuruni pipinya. Satu persatu ayat-ayat cinta Allah itu dibacanya dengan harapan si ayah yang telah kaku itu akan mendengarnya.

"Ayah, dengarkan lah bacaan anakmu ini" dia menangis sambil mengimbas kembali saat dia dikenalkan dengan Al-Quran oleh guru mengajinya yang pertama dan satu-satunya, sehingga dia mengenal bunyi qalqalah dan dengung idgham, sehingga dia mampu mengaji dengan lancar walau tak sehebat seorang qari.

Air matanya menitik lagi. "hadiahkanlah dia bacaan Al-Quranmu, semasa hayatnya dia memberitahu makcik bahawa dia sangat suka mendengar bacaanmu, kerana dia yang mengajar kamu dengan tangannya"

Dia baru berhasrat ingin bertalaqqi dengan guru mengajinya itu sempena pulang cuti semester. Rupa-rupanya Tuhan kabulkan hasratnya lebih awal.

Dan dinihari itu, dan pada setiap alunan ayat-ayat cinta Allah yang dibacanya, dia titipkan doa untuk si ayah yang jauh dengan penuh harapan semoga si ayah mendengarkannya di sana dan berbahagia dengan kirimannya..

Ayah...
Terima kasih kerana mendidikku dan mengasihiku
serta mengenalkan aku dengan Al-Quran..
semoga ayah sentiasa bahagia di sana..