Subscribe

RSS Feed (xml)



Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, March 19, 2009

Aduhai si kecilku..

bersama kak ummunya alias teman baik dan teman gaduhnya




Perjalanan dari UKM ke Klang terasa amat lambat. Sepanjang masa yang ada saya penuhi dengan membaca buku yang baru di beli di Kompleks PKNS Bangi beberapa minggu yang lalu. Buku bertajuk 'Aku Terima Nikahnya'. Terima kasih kepada sahabat yang mensuggestkan buku tu kepada saya, saya amat menghargainya dan buku tu kini menjadi koleksi kesayangan saya.



Membacanya saya jadi terus teringat pada matlamat saya hari itu untuk bertemu dengan orang-orang yang saya sayangi. Hampir sebulan tidak pulang ke rumah, akhirnya dapat juga saya mengghambur rindu pada mereka sempena cuti maulidur Rasul yang ada. Tergambar wajah ummi, kerut tua ayah, dan adik-adik yang semakin menginjak dewasa, dan yang paling penting si kecil Syakirah yang semakin merisaukan.


Kepulangan saya pada malam itu bukan saja disambut dengan azan maghrib yang telah berkumandang tetapi juga oleh si bongsu Syakirah yang ternyata rindukan kakaknya. Si kecil Syakirah banyak sekali celotehnya, menduga hati ini yang sedang kepenatan, apa lagi maghrib yang ada amat singkat.


"Syakirah pegi sembahyang, pastu ngaji kalau tak kak teh ketuk dengan kayu ni sampai penyek.." kata kakakku pada si bongsu ini.


"tak nak, adik tak nak sembahyang.., adik tak nak ngaji.." sambil mencebikkan bibirnya dan membebel seorang diri dia melarikan diri ke dalam bilik, sambil menangis di dalam bilik yang gelap, dan hampir-hampir ketiduran. Selepas berwuduk, saya mengejutkannya dan memujuknya untuk solat maghrib bersama, mujurlah dia masih ingin menurut kata, kanak-kanak hati mereka mudah dilentur kalau kena pada caranya.



Sementara menunggu dia berwuduk, saya membentangkan sejadah dan menyiapkan telekung untuk dipakainya. Saya menjadi imam manakala si bongsu sebagai makmum. Rakaat pertama belum sempat saya sudahi dia telahpun mendahului rukuknya, aduhai si kecilku..


Selesai solat dan berzikir sebentar, timbul satu idea dalam fikiran saya untuk nasihat secara kiasan kepada si kecil ini. Saya pun meringkaskan doa saya untuk ummi, ayah dan adik beradik yang lain kemudian mula membaca doa khusus untuknya. Saya membacanya dengan kuat dengan maksud supaya dia mendengarnya

"ya Allah, jadikanlah Nur Syakirah seorang anak yang solehah, jadikanlah dia anak yang mendengar kata, rajin menunaikan solat dan rajin mengaji..."

"adik tak pandai mengaji.."Ternyata dia memang anak yang bijak, memahami dirinya yang dimaksudkan di dalam doa itu.
"tak pandai mengaji belajar la"

"adik tak pandai mengaji.." ayat yang sama diulang-ulangnya bila saya menawarkan diri untuk mengajarnya alif, ba, ta. Alasan biasa yang di berikannya jika disuruh mengaji selain dari
"adik penatlah.." huhu..si kecil ini benar-benar mencabar keimanan dan kesabaranku.

Saya terpaksa memotivasikan diri kembali, mengingat kembali tulisan ustaz Hasrizal yang sempat saya khatam di dalam bas sebelum pulang tadi. Bukan mudah nak berhadapan dengan si kecil ini, saya tak boleh berputus asa.


"takpa la adik tak nak mengaji, adik duduk sini dengar kak ija mengaji.." Dia duduk di pangkuan saya sambil mendengar saya membaca surah yasin. Sampai di muka surat 443, kepalanya sudah tersengguk-sengguk menahan mengantuk, cepat-cepat saya sudahi bacaan saya..sambil itu akal saya merancang penyelesaian untuk menghapuskan keliatannya yang satu ini..


Tidak habis sampai di situ, malam itu kami tidur bertiga, saya, ummu, dan dia. Yang anehnya,dia tidur di hujung sebelah kepala katil dengan bantal penuh di sisi, manakala kakaknya ummu (9 thn) tidur di hujung kaki katil. Sebaik sahaja saya menyuruh kakaknya beralih tempat di sebelah saya, dia terus merajuk dan turun dari katil sambil membebel.


"adik nak tidur mana, kesian kat adik, biar adik tidur kat luar la, biar adik kena culik.." nak tergelak pun ada, tapi saya tidak mempedulikan rajuknya sehingga akhirnya dia naik sendiri ke atas katil tidur di sebelah saya. Sambil itu mulut dia masih aktif membebel sebal dengan tindakan saya agaknya..

"kak ummu tamak"
"kak ummu taik idung masin.." kasihan kak ummunya yang tak bersalah

"Syakirah, tak baik cakap macam tu.."nasihat saya tak diendahkannya,mulutnya masih marahkan kak ummunya..

"adik manusia ke, adik kuda?" soalan provokasi yang tak menjadi kerana akhirnya dia menjawab balik "adik orang, kak ija la kuda.."

"adik la kuda, sebab adik kedekut"
"kuda kedekut.."


Kami berlawan kata. Penat berbalah, akhirnya saya membiarkan dia bercakap seorang diri, saya mendiamkan diri dan berpura-pura tidur sehingga akhirnya dia terlena sendiri. Saya tersenyum, hati saya berbisik "ini baru berhadapan dengan adik sendiri sudah rasa cabarannya, belum lagi dengan anak sendiri.."

Nur Syakirahku si bongsu yang manja, keletahnya membuatkan saya selalu tersenyum sendiri, namun kadang kala sikap dan tingkah lakunya juga merisaukan saya, kerana dia Nur Syakirah versi kanak-kanak moden yang membesar seiring dengan zaman hedonisme, apa tidaknya bila tv menjadi peneman setianya. Di luar sana masih banyak kanak-kanak seversi dengannya. Malah apa yang lebih dahsyat lagi, terdapat bermacam-macam jenis kanak-kanak versi artis Malaysia dan luar negara. Buktinya, lihat sahajalah macam-macam Aznil dan Tom Tom Bak. Aduh generasiku semakin merisaukan..



Semasa menyiapkan proposal untuk Assignment Dr.Aisah, saya membuat tajuk tentang pengaruh televisyen terhadap peribadi kanak-kanak. Sedikit sebanyak secara tidak langsung saya mempelajari sifat kanak-kanak yang salah satunya mudah mempelajari sesuatu yang dilihat di hadapan matanya, sebagai contohnya perlakuan orang dewasa. Mereka memerhati sambil memproses, tanpa disedari ingatannya menyimpan memori tersebut lalu diinterpretasikan melalui perlakuan mereka...


Dua hari yang lalu, saya telefon ke rumah dan berbual dengan si bongsu itu, dia bercerita tentang pelajaran alif, ba, ta yang baru selesai diajar oleh guru tetapnya, siapa lagi kalau bukan kak ummunya. Alhamdulillah..

Buat adik-adikku Aisyah, Syakirah dan ummuku sayang, semoga diri kalian menjadi wanita solehah yang berakhlak mulia, dan moga kalian terpelihara dari pengaruh jahiliah yang semakin dahsyat hari ini..


Ameen...

2 comments:

mr. brightside said...

tersentuh hati..huhu

andalas semua normal eyh?
xdek perubahan besar2 yg suprising kn?

tulip putih said...

Alhamdulillah.andalas msh bgt, yg berubah adalah penghuninya, ada yg pergi x kembali, ada jg pndtg br .yg pasti remajanya makin merisaukn, wlpn hny sebuah tmn tp x terkecuali kene tempias..